'Hak milik tanah kekal untuk semua kaum'

 Aziz Bari
Aziz Bari
A
A
A

IPOH - DAP Perak meminta Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mengemukakan bukti terdapat peruntukan undang-undang yang melarang hak milik kekal diberikan kepada rakyat.

Naib Pengerusinya, Dr Abdul Aziz Bari berkata, kenyataan dibuat ketua pembangkang Perak itu bahawa pemberian hak milik kekal tanah yang termaktub manifesto Pakatan Harapan (PH) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-73 langsung tidak berkaitan sebaliknya sebagai cubaan untuk mengelirukan masyarakat.

Beliau berkata, PH Perak tidak pernah meletakkan pemberian pajakan tanah selama 999 tahun sebagai janji manifesto sekali gus menunjukkan Saarani tidak mengkaji terlebih dahulu sebelum mengkritik secara terbuka tentang pemberian hak milik kekal tanah kampung baharu, kampung tersusun dan tanah Felda.

"Sila nyatakan peruntukan mana yang melarang kerajaan negeri daripada memberikan hak milik kekal kepada rakyat? Ini kerana manifesto yang termaktub adalah mengenai pemberian hak milik kekal dan bukan pajakan 999 tahun.

"Majlis Tanah Negara juga tidak mengambil alih kuasa penuh negeri ke atas tanah. Ia hanya menetapkan soal dasar dan terpulang kepada negeri-negeri untuk melaksanakan atau tidak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Saarani meminta kerajaan Perak supaya tidak mencabuli Perlembagaan Persekutuan dengan memberikan hak milik tanah 999 tahun kepada kampung baharu.

Sementara itu, Abdul Aziz menyifatkan tuduhan UMNO bahawa DAP bermain sentimen kaum untuk menekan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disifatkan sebagai propaganda jahat untuk memecahbelahkan PH.

Katanya, dengan cara sedemikian kerajaan PH akan dilihat tidak bertanggungjawab apabila gagal menunaikan janji manifesto pilihan raya yang lalu.

Artikel Berkaitan:

"Janji PH dalam isu hak milik kekal ini tidak langsung memberi kesan negatif kepada orang Melayu bahkan mereka juga akan menikmati faedahnya. Hak milik kekal adalah untuk semua kaum dan bukan untuk kaum Cina sahaja.

"Jauh sekali makna yang cuba diketengahkan pembangkang seolah-olah memberi gambaran manifesto ini mengenai merampas tanah Melayu untuk diberi kepada orang Cina. Ini jelas tidak benar," katanya.

Sementara itu Abdul Aziz berkata, pembangkang dilihat mula gelisah dengan tindakan kerajaan yang komited melaksanakan segala janji manifesto PH Perak dan bukan terhad kepada isu tanah semata-mata.

Menurutnya, UMNO dan Pas lebih gemar melaga-lagakan perpaduan PH berbanding mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

ARTIKEL BERKAITAN Kampung baru Cina: Exco DAP sedia bantu MB Perak tunai janji