Dakwaan diperlakukan sebagai 'office boy' satu komedi, kata Najib

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memberi keterangan membela diri dalam perbicaraan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC), hari ini menyifatkan dakwaan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa beliau (Ahmad Husni) hanya diperlakukan sebagai 'office boy' adalah satu komedi.

Najib, 66, yang merupakan Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus SRC ketika itu berkata, dakwaan Ahmad Husni itu tidak masuk akal kerana beliau telah dirujuk dan juga meluluskan beberapa memo penting sebagai Menteri Kewangan II (MOF2) termasuk Memo Kementerian Kewangan bertarikh 2 Februari 2012 dan Memo Perbendaharaan bertarikh 4 November 2015 membabitkan peruntukan pinjaman jangka pendek kepada SRC.

"Dakwaan bahawa beliau diperlakukan sekadar 'office boy' (budak pejabat) adalah satu komedi memandangkan tandatangannya selaku Menteri Kewangan II (MOF2) menunjukkan sebaliknya.

"Datuk Seri Husni juga turut hadir dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Februari 2012 di mana Jaminan Kerajaan Kedua (pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berjumlah RM2 bilion) diluluskan dan tidak membangkitkan apa-apa isu.

"Ia sangat tidak masuk akal apabila MOF2 (Ahmad Husni) sanggup merendahkan diri sendiri ke tahap memanggil dirinya sebagai ‘office boy’, kononnya hanya mengikut arahan apabila beliau sendiri gagal menjalankan tanggungjawab berdasarkan jawatannya, sekiranya benar beliau mempunyai kepercayaan bahawa SRC memerlukan sedikit pemerhatian pada waktu itu," katanya yang memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi bagi membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Kepada soalan peguamnya Wan Aizuddin Wan Mohammed bahawa Ahmad Husni dalam keterangannya sebelum ini menyatakan beliau diarahkan Najib supaya tidak terlibat dalam SRC dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tidak pernah memberitahu Ahmad Husni sedemikian.

"Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa Datuk Seri Husni akhirnya mengakui semasa perbicaraan kes ini bahawa saya tidak pernah menggunakan apa-apa perkataan untuk menghalang beliau daripada menjalankan kerja beliau sebagai MOF2 dan saya tidak pernah memberitahu beliau untuk tidak terlibat dengan SRC," katanya.

Berhubung keterangan Ahmad Husni bahawa beliau dihalang membawa delegasi ke Switzerland selepas mendapat berita dana kepunyaan SRC di negara itu dibekukan, Najib berkata, keterangan Ahmad Husni itu berniat untuk memburukkannya dan berunsur dendam akibat ketidakpuasan hati beliau.

Artikel Berkaitan:

"Datuk Husni ada bertanya kepada saya secara tidak formal sama ada patut beliau pergi ke Switzerland dan membantu untuk cuba menyelesaikan isu ini. Ini bukanlah satu permintaan yang rasmi dan formal.

"Sebenarnya Datuk Husni berkata bahawa beliau boleh cuba selesaikan perkara ini memandangkan beliau ada mengenali beberapa individu di Switzerland yang boleh membantu. Saya beritahu kepadanya tiada keperluan untuk beliau pergi kerana mengikut pemahaman saya, terdapat usaha-usaha yang diambil oleh SRC untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Disoal Wan Aizuddin mengapa Ahmad Husni mempunyai dendam dan ketidakpuasan hati terhadap bekas perdana menteri itu, Najib menjelaskan beliau percaya Ahmad Husni menyimpan perasaan tidak puas hati selepas beliau dipindahkan daripada MOF ke Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan menggunakan kandang saksi sebagai satu pentas untuk menyuarakan keluhannya secara terbuka.

Najib juga menafikan setiap keputusan oleh Ahli Lembaga Pengarah SRC perlu diluluskan olehnya dan setiap arahannya akan disampaikan melalui Nik Faisal Ariff Kamil, yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif SRC.

Beliau juga menafikan keterangan Tan Sri Ismee Ismail (bekas pengerusi Lembaga Pengarah SRC) dan Datuk Suboh Md Yassin (bekas pengarah bukan eksekutif SRC) bahawa Nik Faisal menjadi penghubung antaranya (Najib) dan SRC.

"Dalam perjumpaan yang terhad di antara saya dan Nik Faisal, beliau telah memaklumkan bahawa Lembaga Pengarah telah memutuskan berkaitan dengan pelaburan-pelaburan selepas perbincangan yang mendalam dan ‘due diligence’ (kajian terperinci) dijalankan melalui perunding-perunding dan penasihat-penasihat luar.

"Saya tidak pernah mengarahkan Lembaga Pengarah dalam apa-apa cara berkenaan dengan hal yang sama. Saya tidak berada di dalam mana-mana kedudukan untuk pengurusan mikro mana-mana syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) termasuklah SRC. SRC hanyalah satu daripada syarikat-syarikat MKD yang terlibat dalam projek berkaitan kepentingan nasional pada masa itu.

"Tiada sebab bagi saya untuk mengarahkan Lembaga Pengarah SRC melalui Nik Faisal. Sekarang jelas kelihatan Nik Faisal telah mempermainkan kedua belah pihak. Kepada saya, beliau mengatakan perkara-perkara tersebut telah pun diputuskan oleh Lembaga Pengarah dan kepada Lembaga Pengarah beliau menyatakan saya telah mengarahkan perkara-perkara tersebut," katanya.

Najib berkata, apa yang menghairankan adalah mengapa pengarah-pengarah SRC yang lain termasuk Ismee tidak mengesahkan perkara itu dengannya dan hanya menerima sahaja kata-kata Nik Faisal secara bulat-bulat khususnya berkaitan dengan dana syarikat.

"Tan Sri Ismee, sebagaimana yang saya sebutkan, adalah seorang ahli korporat yang mempunyai pengalaman yang luas dalam menguruskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Beliau mempunyai nombor (telefon bimbit) peribadi saya untuk dihubungi dan kami telah berjumpa beberapa kali. Tidak pernah sesekali pun saya ditanya tentang perkara itu," katanya.

Pada 11 November mahkamah memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. - Bernama