Suami isteri antara 13 ditahan terlibat sindiket pinjaman tidak wujud

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Sepasang suami isteri antara 13 individu ditahan kerana dipercayai menjalankan sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud secara dalam talian di dua unit kondominium di sini sejak bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak, Superintendan Hasbullah Abd Rahman berkata, semua individu berkenaan terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 24 hingga 34 tahun ditahan dalam satu operasi bersama Bahagian Operasi JSJK Bukit Aman kira-kira jam 2 petang semalam.

"Ketika ditahan, mereka dipercayai sedang menjalankan operasi penipuan di dalam dua unit kondominium yang disewa dan dijadikan pusat panggilan bagi memperdaya mangsa yang memerlukan wang.

“Polis turut merampas 27 telefon bimbit dan dokumen mengandungi senarai nombor telefon serta maklumat mangsa dalam serbuan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah mengiklankan pinjaman wang melalui media Facebook sebelum suspek menghubungi mangsa berdasarkan maklumat diperoleh daripada dokumen yang diisi secara dalam talian.

Hasbullah berkata, suspek kemudian bertindak sebagai pegawai bank dengan menghubungi mangsa-mangsa yang ingin memohon pinjaman peribadi dan meminta mereka membayar sejumlah wang terlebih dahulu atas alasan tujuan pemprosesan.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menawarkan pinjaman wang berjumlah antara RM5,000 sehingga RM50,000 kepada mangsa dan setakat ini pihak polis telah menerima empat laporan berhubung kes melibatkan sindiket sama,” katanya.

Menurutnya, semua suspek berasal dari luar Perak itu ditawarkan gaji RM3,500 dan menerima sejumlah komisen bagi setiap mangsa yang berjaya diperdaya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemeriksaan mendapati tiga daripada tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki berkaitan kes dadah dan jenayah.

Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pagi ini untuk tujuan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama