X

Kindly register in order to view this article
!

Mangsa banjir di Kelantan meningkat

Kenderaan terpaksa mengharungi air banjir untuk ke Rantau Panjang berikutan limpahan air Sungai Golok ketika tinjauan Bernama- -fotoBERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 13,764 orang melibatkan 5,000 keluarga.

Di Kelantan, jumlah mangsa di dua daerah iaitu Pasir Mas dan Tumpat meningkat masing-masing kepada 9,373 mangsa di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) dan 2,290 orang di tujuh PPS.

Di Pasir Puteh, jumlah mangsa kekal 826 orang (219 keluarga) di lapan PPS; Tanah Merah pula mencatat jumlah 321 mangsa (97 keluarga) di tujuh PPS manakala di Machang seramai 140 mangsa (38 keluarga) kekal di tiga PPS.

Jumlah mangsa di Kota Bharu dan Kuala Krai pula mencatat penurunan masing-masing kepada 146 mangsa (37 keluarga) di dua PPS dan 263 orang (65 keluarga) di lima PPS.

Menurut laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my, paras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas susut kepada 10.32 meter daripada 10.39 meter yang melepasi paras bahaya sembilan meter.

Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat yang melepasi paras bahaya 2.50 meter pula kekal 3.29 meter, manakala hanya sebuah sungai melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Kelantan di Jambatan Guilemard, Kuala Krai pada bacaan 12.30 meter (berjaga-jaga 12 meter).

Sementara di Terengganu situasi banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 1,856 orang daripada 498 keluarga di 34 PPS berbanding 2,254 orang (613 keluarga) di 50 PPS malam tadi.

Di Besut, jumlah mangsa berkurangan kepada 289 orang (77 keluarga) di lapan PPS, manakala di Hulu Terengganu menurun kepada 137 orang (35 keluarga) di empat PPS.

Hanya di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu jumlah mangsa terus meningkat masing-masing kepada 494 orang (144 keluarga) di enam PPS; 371 orang (94 keluarga) di sebuah PPS, dan 324 orang (91 keluarga) di 10 PPS.

Di Dungun, jumlah mangsa kekal 207 orang (50 keluarga) di empat PPS dan 34 mangsa daripada tujuh keluarga di sebuah PPS di Marang

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hanya Sungai Dungun di Jambatan Jerangau mengatasi paras bahaya pagi ini iaitu setinggi 13.11 meter melebihi paras bahaya 12.50m.

Di Johor, jumlah mangsa banjir di Batu Pahat kekal 52 orang daripada 13 keluarga setakat pagi ini yang ditempatkan di satu PPS.

Cuaca di ketiga-tiga negeri itu dilaporkan cerah. - Bernama