Kerajaan Selangor tolong segera selesaikan pinjaman kami

Presiden Usahawan Kuala Lumpur Shazlan Bashar (kiri) menyerahkan memorandum gesaan untuk menyegerakan pembayaran pinjaman peserta Hijrah Cawangan Petaling Jaya Utara kepada Pengurus Khidmat Profesional Yayasan Hijrah Selangor Nur Siti Hazliana Mat Hashim (kanan) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama
Presiden Usahawan Kuala Lumpur Shazlan Bashar (kiri) menyerahkan memorandum gesaan untuk menyegerakan pembayaran pinjaman peserta Hijrah Cawangan Petaling Jaya Utara kepada Pengurus Khidmat Profesional Yayasan Hijrah Selangor Nur Siti Hazliana Mat Hashim (kanan) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 15 individu mewakili 107 usahawan Melayu cawangan Petaling Jaya Utara hari ini menggesa kerajaan negeri Selangor menyegerakan pembayaran pinjaman Hijrah Selangor.

Wakil mereka yang juga Presiden Usahawan Kuala Lumpur, Shazlan Bashar berkata kegagalan mengaturkan bayaran pinjaman itu terjadi selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14, pada Mei tahun lepas.

"Ramai usahawan yang memohon skim pinjaman itu sejak tahun lepas, antara Januari sehingga September, mengeluh apabila sehingga kini masih belum mendapat sebarang dana walaupun pinjaman sudah diluluskan dan kesemua mereka meminjam antara RM8,000 hingga RM50,000.

"Sejak dari tahun 2014 peserta yang terlibat semua mendapat pinjaman dengan lancar, tetapi kini kegagalan untuk mengaturkan pembayaran telah menimbulkan masalah kepada usahawan berikutan kekurangan modal. Sehubungan itu, kami meminta penyelesaian segera," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada Pengurus Khidmat Profesional Yayasan Hijrah Selangor, Nur Siti Hazliana Mat Hashim di lobi utama Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini.

Shazlan berharap kerajaan negeri akan dapat menyelesaikan perkara itu segera selaras dengan objektif kerajaan untuk melahirkan usahawan baharu dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

"Kita tahu bahawa objektif Hijrah Selangor yang mahu membantu usahawan-usahawan kecil terutama dalam kalangan bumiputera di negeri ini. Jadi kita minta pihak Hijrah Selangor dapat menyegerakan pinjaman itu supaya usahawan yang terlibat boleh menjadikan wang itu sebagai modal perniagaan sebelum musim perayaan Aidilfitri akan datang," katanya.

Sementara itu, Nur Siti Hazliana memberitahu pemberita bahawa beliau mengambil maklum akan masalah yang dihadapi usahawan terbabit dan akan berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi untuk mengeluarkan satu kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Hijrah Selangor yang diperkenalkan semasa pentadbiran bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan pinjaman yang diberikan sebagai modal tambahan kepada golongan usahawan kecil.- Bernama