Google laksana cukai digital 6 perataus bermula tahun depan

Google Malaysia
Google Malaysia
A
A
A

GOOGLE Malaysia mengumumkan pihaknya akan mengenakan cukai digital sebanyak enam peratus kepada pelanggan di negara ini bermula 1 Januari 2020.

Memetik laporan The Star, jurucakap syarikat enjin carian itu menjelaskan, keputusan tersebut dibuat bagi mematuhi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

"Kami sentiasa mematuhi undang-undang cukai di setiap negara di mana kami beroperasi.

"Malah kami juga terus melaksanakannya sebagaimana cukai berkenaan berkembang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jurucakap berkenaan berkata, buat masa ini pihaknya mengesahkan cukai sebanyak enam peratus itu akan dikenakan ke atas perkhidmatan G Suite yang disediakan.

“Cukai berkenaan akan dikenakan kepada pengguna menerusi bil dan pembayaran ke atas setiap pembelian yang mereka lalukan,” katanya.

Tambahnya, pengumuman lanjut berhubung pelaksanaan cukai ke atas perkhidmatan lain seperti YouTube Premium, YouTube Music and pembelian item dalam talian seperti e-books, aplikasi mobil, filem di Google Play akan dimaklumkan kelak.

“Pengguna akan dimaklumkan mengenai kebarangkalian berlaku perubahan harga menerusi emel,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada pembentangan belanjawan tahun lalu, kerajaan Malaysia mengumumkan akan memperkenalkan cukai digital sebanyak enam peratus ke atas penyedia perkhidmatan asing yang beroperasi di negara ini bermula 1 Januari 2020.

Cukai berkenaan dijangka akan memberi kesan kepada perkhidmatan penstriman asing seperti Netflix dan Spotify, perkhidmatan pengiklanan digital yang ditawarkan oleh syarikat seperti Google dan syarikat pengedaran permainan digital seperti Steam.

Syarikat asing yang menyediakan perkhidmatan tersebut dibenarkan mendaftar dengan Jabatan Kastam bermula dari 1 Oktober ini.

Pendaftaran adalah mandatori apabila nilai perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat digital terlibat kepada rakyat di negara ini melebihi RM500,000 setahun.

Menurut Panduan Cukai Perkhidmatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, perkhidmatan digital ditakrifkan sebagai perkhidmatan yang disampaikan menerusi medium teknologi maklumat dengan sedikit atau tidak ada intervensi manusia daripada pembekal perkhidmatan.

Contoh perkhidmatan digital termasuk perisian, aplikasi, permainan video, perkhidmatan striming muzik dan filem, media berasaskan langganan, pangkalan data dan perkhidmatan penyimpanan awan, pengiklanan dan platform dalam talian, termasuk ruang iklan dalam talian pada platform media tidak ketara dan menawarkan platform untuk berdagang produk atau perkhidmatan, serta enjin carian dan rangkaian sosial.