Malaysia antara lima negara pengeluar sarang burung walet

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia merupakan antara lima negara di dunia yang mempunyai industri sarang burung walet, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, selain Malaysia, empat lagi negara yang menjalankan industri itu ialah Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

“Ini adalah industri yang sangat-sangat berharga. Ia seperti khazanah negara. Dalam konteks ini, kejadian jerebu yang menyebabkan pencemaran udara memberi kesan negatif kepada industri,” katanya dalam sesi soal jawab lisan hari ini.

Tze Tzin menjawab soalan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) yang ingin tahu jika kejadian jerebu menjejaskan pengeluaran sarang burung layang-layang di negara ini.

Dalam pada itu, Tze Tzin berkata, keadaan itu juga akan menjejaskan sumber makanan spesies itu sekali gus menyebabkan burung walet kurang menghasilkan air liur.

“Sekiranya berlaku kejadian jerebu yang serius dan berpanjangan, ia akan memberikan kesan yang panjang pada industri kerana secara semula jadinya, burung walet akan berhijrah ke kawasan yang kurang tercemar," katanya.

Tze Tzin berkata, tahun lepas, nilai eksport sarang burung walet adalah sebanyak RM1.3 bilion, manakala tahun ini sehingga Oktober lepas, jumlah eksport tersebut telah mencecah RM921 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan: