Hubungan Malaysia-Indonesia kekal utuh - Fahmi

PUTRAJAYA - Hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia kekal utuh tanpa mengambil kira sebarang dinamika politik yang berlaku di negara itu susulan peletakan jawatan Naib Presidennya, Gibran Rakabuming Raka semalam.
Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata hubungan baik kedua-dua negara terus diperkukuh menerusi lawatan rasmi pimpinan tertinggi termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Jakarta baru-baru ini.
"Insya-Allah, hubungan antara kedua-dua negara akan kekal utuh dan kekal baik, dan saya (juga) baru pulang dari Jakarta beberapa minggu yang lepas… kita percaya hubungan yang baik antara kedua-dua negara akan terus utuh dan kekal tanpa mengira apa yang berlaku (atau) dinamika politik yang dimaksudkan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Semalam, Gibran menyerahkan surat peletakan jawatannya secara rasmi kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR).
Speaker MPR Ahmad Muzani berkata Gibran menyerahkan sendiri surat itu pada pertemuan yang berlangsung kira-kira 20 minit di bangunan Nusantara III, Kompleks Parlimen di Jakarta, dan memaklumkan kepada pucuk pimpinan MPR bahawa surat yang sama turut diserahkan kepada Presiden Prabowo Subianto.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
