Industri ‘bundle’ perlu undang-undang khusus

KOTA BHARU – Kerajaan dicadangkan menggubal undang-undang khusus bagi mengawal selia industri barangan terpakai atau bundle bagi memastikan peniaga kecil tidak berdepan risiko tindakan undang-undang akibat kesukaran mengesahkan ketulenan barangan diperoleh secara pukal.
Peguambela dan Peguamcara, Nik Saiful Adli Burhan berkata, langkah itu penting bagi membezakan peniaga yang menjalankan perniagaan barangan terpakai secara sah dengan pihak yang sengaja menjual produk tiruan.
Menurutnya, kebanyakan peniaga bundle memperoleh stok dalam bentuk tokol atau bale, iaitu bungkusan besar mengandungi pelbagai barangan terpakai yang dikumpulkan dan dibungkus pembekal di luar negara.
Katanya, peniaga lazimnya hanya mengetahui kategori barangan seperti beg tangan, pakaian atau kasut, namun tidak semestinya mengetahui jenama, model, usia, keadaan serta ketulenan setiap produk sehingga bungkusan berkenaan dibuka di Malaysia.
“Dalam perniagaan barangan baharu, pengimport atau pengedar lazimnya boleh menentukan jenis, jenama, model, spesifikasi dan kuantiti barang yang dibeli daripada pengilang atau pembekal.
“Sebaliknya, kebanyakan peniaga bundle memperoleh stok dalam bentuk tokol. Kandungannya sering tidak dapat dikenal pasti secara terperinci sehinggalah tokol tersebut dibuka,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, kesukaran mengesahkan ketulenan barangan turut berpunca daripada ketiadaan dokumen asal seperti resit, sijil ketulenan atau kad pengesahan bagi produk yang sudah lama digunakan.
Jelasnya, keadaan fizikal produk seperti jahitan tidak sekata, warna pudar, kulit merekah atau label rosak tidak semestinya membuktikan barangan itu tiruan kerana mungkin berpunca daripada penggunaan bertahun-tahun, pembaikan atau penyimpanan tidak sempurna.
“Pengelasan keaslian sesuatu produk memerlukan penelitian terhadap jahitan, bahan, monogram, label, bentuk huruf dan kemasan yang melibatkan ciri teknikal tertentu.
“Jika pegawai penguat kuasa sendiri memerlukan bantuan wakil pemilik cap dagangan yang mempunyai kepakaran tertentu untuk membuat pengesahan, bagaimanakah kita boleh menganggap setiap peniaga bundle kecil mempunyai tahap pengetahuan dan keupayaan teknikal yang setara?” katanya.
Nik Saiful Adli berkata, isu berkenaan turut dapat dilihat menerusi satu kes yang dikendalikannya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Khamis, membabitkan 47 beg terpakai menggunakan cap dagangan Louis Vuitton, Christian Dior dan Burberry.
Dalam kes itu, anak guamnya dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 tanpa dipanggil membela diri.
Katanya, antara alasan utama keputusan itu ialah berkaitan pemakaian Seksyen 133 akta berkenaan selain hujahan lain pihak pembelaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan itu hanya terpakai terhadap pertuduhan dan keterangan dalam kes berkenaan, bukannya bermaksud industri bundle dikecualikan daripada pemakaian Akta Cap Dagangan 2019.
Sehubungan itu, Nik Saiful Adli mencadangkan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta wakil industri, merangka undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi pengurusan stok bundle.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kewajipan merekod maklumat pembekal luar negara, dokumen penghantaran, deklarasi kandungan dan pemerolehan stok bagi membolehkan rantaian bekalan dikesan.
Selain itu, katanya, peniaga perlu diberikan panduan mengasingkan stok mengikut kategori dan keadaan fizikal, termasuk prosedur pemeriksaan serta kuarantin bagi barangan yang disyaki tiruan.
“Peniaga juga perlu mempunyai akses kepada mekanisme pengesahan ketulenan yang mampu dicapai tanpa kos pengesahan profesional yang tidak seimbang dengan nilai stok terpakai.
“Pematuhan berperingkat dan tindakan penguatkuasaan yang berkadar juga perlu dipertimbangkan, termasuk langkah pembetulan dan pendidikan, bukannya hukuman semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019 sudah memperuntukkan pembelaan tertentu berkaitan langkah berjaga-jaga munasabah, namun tidak menyediakan SOP khusus mengenai langkah praktikal yang perlu dilakukan peniaga bundle ketika menguruskan stok bercampur.
Justeru, beliau mencadangkan Parlimen mempertimbangkan pindaan akta itu bagi memperincikan maksud langkah berjaga-jaga munasabah dalam konteks perniagaan bundle, termasuk pemeriksaan stok selepas tokol dibuka dan pengasingan barangan meragukan.
Nik Saiful Adli menegaskan cadangan itu bukan bertujuan menghalalkan perdagangan barang tiruan kerana peniaga yang sengaja menjual produk palsu tetap perlu dikenakan tindakan.
“Tidak sepatutnya ada pihak yang menggunakan industri bundle sebagai perlindungan untuk mengimport, menyembunyikan atau menjual barangan tiruan secara sengaja.
“Jangan sampai peniaga kecil dihukum kerana gagal melaksanakan suatu standard pemeriksaan yang tidak pernah diterangkan dengan jelas dan tidak mampu mereka laksanakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

