Potensi besar tanaman kenaf, permintaan semakin meluas

Teresa melihat kasut yang dihasilkan daripada pokok kenaf ketika merasmikan Pusat Industri Kenaf di Kampung Tebu Hitam hari ini. Turut hadir Wan Abdul Rahim (empat dari kanan) dan Samsudin (dua dari kanan). -Foto Bernama
Teresa melihat kasut yang dihasilkan daripada pokok kenaf ketika merasmikan Pusat Industri Kenaf di Kampung Tebu Hitam hari ini. Turut hadir Wan Abdul Rahim (empat dari kanan) dan Samsudin (dua dari kanan). -Foto Bernama
A
A
A

ROMPIN - Tanaman kenaf mempunyai potensi besar untuk diperkasakan pada masa hadapan ekoran permintaan semakin meluas terhadap produk dihasilkan daripada tanaman itu yang disifatkan lebih mesra alam.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, antara produk kenaf yang semakin mendapat permintaan ialah kertas daripada batang tumbuhan itu yang dapat menggantikan penggunaan plastik dan polisterin.

Menurutnya, pasaran global bagi produk kertas juga dijangka semakin meningkat sehingga mencecah ASD342.2 bilion menjelang 2025, yang sudah pasti akan menyumbang kepada perkembangan industri berasaskan eko-fiber termasuk kenaf.

"Industri kenaf mempunyai potensi sangat tinggi dan kita berharap lebih banyak pihak industri mengambil peluang melabur dalam penanaman kenaf, khususnya daripada pihak swasta dan kerajaan negeri yang diharapkan akan bekerjasama dengan kementerian.

"Kita perlu mewujudkan satu rantaian pengeluaran kenaf yang meliputi segala aspek supaya tanaman kenaf apabila diperkasakan sudah mempunyai mereka yang boleh menguruskan aspek dan kos pemprosesan serta pemasarannya," katanya.

Teresa berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Industri Kenaf Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Tebu Hitam di sini, hari ini, yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak; Pengerusi LKTN, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pengarah LKTN Samsudin Noor.

Setakat ini, LKTN menyasarkan kawasan penanaman kenaf akan mencecah 10,000 hektar dalam tempoh lima tahun, dan Kok berkata tanaman itu dicadang untuk dijadikan sebagai tanaman campuran kerana tempoh masa tuaian yang singkat.

"Saya difahamkan mereka yang terlibat menanam kenaf di sini ialah pesawah, yang menanamnya secara bergilir dengan padi. Kita lihat di sini masih banyak tanah terbiar dan galakan boleh diberikan untuk menanam kenaf kerana setiap bahagiannya boleh digunakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Teresa berkata di Pahang, setakat ini terdapat 418 penanam kenaf melibatkan kawasan seluas 635 hektar dan LKTN telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lebih banyak kawasan untuk diusahakan dengan tanaman itu.

Mengenai pusat industri itu, Teresa berkata, pembangunannya dilakukan dengan kerjasama swasta melibatkan pusat pemprosesan Kenaf In-Situ (PPKI) bernilai RM4 juta dan kemudahan pemproses pulpa dan kertas bernilai RM2 juta dengan kemampuan memproses 10,000 tan batang kenaf kering setahun.

Katanya, PPKI mengeluarkan produk berasakan fiber dan 'core' kenaf selain dilengkapi mesin pemprosesan berkapasiti tinggi untuk mengeluarkan fiber bersih manakala mesin pemprosesan pulpa dan kertas pula dapat menghasilkan produk 'brown paper' yang digunakan dalam industri pembungkusan.

"PPKI dijangka mampu mengeluarkan 500 tan fiber setahun dengan nilai RM1.25 juta manakala pengeluaran produk brown paper dianggarkan 1,800 tan bernilai RM3.6 juta untuk pasaran domestik dan eksport," katanya.

Pada majlis itu, Teresa turut menyampaikan pembayaran hasil pengeluaran kenaf tahun 2019 bernilai RM1.63 juta kepada penanam kenaf selain menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian (MoA) antara LKTN yang diwakili Samsudin dengan syarikat Kenaf Pulp Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Yong Tan Heang bagi projek pengeluaran 'brown paper'.

LKTN pada majlis itu juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang diwakili ketua pengarahnya, Azlikamil Napiah bagi projek pemetaan tanaman kenaf secara 'Geospatial Information System' dan 'Remote Sensing' bagi membantu proses pemantauan yang lebih cekap dan sistematik. - Bernama