Kementerian Pertahanan mohon peruntukan tambahan hadapi ancaman siber

Mohamad - Foto fail
Mohamad - Foto fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan memohon peruntukan tambahan bagi menghadapi cabaran baharu iaitu ancaman serangan siber seperti yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, pihaknya sedang berusaha memohon dana yang lebih bagi kementeriannya dan terdapat Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang yang mahu kementerian itu mempertingkatkan lagi perolehan aset khusus dalam menghadapi ancaman serangan siber.

“Ya, mereka (Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang) berpandangan sama bahawa kementerian saya perlu dipertingkatkan aset kerana negara kita menghadapi cabaran baharu iaitu serangan siber.

"Ini termasuklah penggunaan dron, radar dan sebagainya, bukan sekarang tiada semua ini, cuma ia perlu dipertingkatkan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan 2019 di Auditorium Wisma Pertahanan di sini.

Semalam, Mohamad membentangkan KPP di Dewan Rakyat yang menetapkan hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 2021 hingga 2030 bagi melindungi kepentingan Malaysia dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah.

ARTIKEL BERKAITAN: Kertas Putih Pertahanan boleh diakses rakyat

KPP melibatkan lapan mesej utama itu dibentangkan bagi memperbaharui Dasar Pertahanan Negara (DPN) agar strategi dan keupayaannya seiring dan relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global.

Turut hadir dalam perhimpunan berkenaan adalah timbalannya Liew Chin Tong.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hendaklah bersedia menjaga kawasan Sabah dan Sarawak termasuk perairan, hutan dan laut negara supaya segala bentuk jenayah dapat dikurangkan.

"Saya berharap ATM dapat mengurangkan kegiatan jenayah di sempadan," katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai persiapan menghadapi musim tengkujuh di negeri Pantai Timur, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pihaknya kini berada dalam keadaan bersiap-siaga untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir terutama di Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata, jumlah bilangan dan aset tentera yang dikerahkan ketika ini memadai mengikut situasi, namun bergantung kepada permintaan serta keadaan semasa.

"Sekiranya keadaan bertambah buruk termasuk paras air semakin naik, kami akan menghantar lebih ramai anggota untuk membantu," katanya.

Affendi berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam melakukan beberapa penerbangan ihsan kepada mangsa-mangsa banjir termasuk menghantar bekalan asas makanan kepada mangsa.

Semalam, Bernama melaporkan Nadma akan menambah 2,000 unit khemah bagi menampung keperluan mangsa banjir yang semakin meningkat berikutan cuaca tidak menentu.

Dalam pada itu, 10,000 unit khemah telah diagihkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu. - Bernama