Kertas Putih Pertahanan boleh diakses rakyat

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bercakap pada media di Parlimen hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bercakap pada media di Parlimen hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas Putih Pertahanan (KPP) merupakan satu dokumen terbuka yang boleh diakses oleh rakyat, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, KPP adalah dasar baharu pertahanan negara yang menetapkan hala tuju kerajaan dalam melindungi kepentingan negara, mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah bagi tempoh 10 tahun.

Menurutnya, ia akan bermula dari 2021 sehingga 2030 yang merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"KPP bertujuan untuk menggalakkan semua lapisan masyarakat untuk turut sama memikul tanggungjawab pertahanan negara sebagai satu usaha sama nasional.

"Selain itu, KPP juga bertujuan untuk mengkaji semula persekitaran strategik keselamatan semasa di samping meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) agar mampu untuk melindungi dan mempertahan negara pada sebilang masa," katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Mohamad berkata, kerangka pertahanan negara telah dibentuk bagi menggariskan dasar-dasar dan usaha-usaha dalam mencapai visi Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.

Menurutnya, visi itu digarap menerusi penekanan kepada kepentingan geografi Malaysia sebagai sebuah negara maritim dengan susur galur kebenuaan di samping memainkan peranan sebagai gerbang penjalin di antara kedua-dua rantau Asia Pasifik dan Lautan Hindi.

"Penetapan visi ini merupakan satu signal kesediaan Malaysia yang proaktif dalam mencipta dan meneroka opsyen dasar yang lebih luas.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga menetapkan tiga kepentingan pertahanan negara yang merangkumi keselamatan, kedaulatan dan kemakmuran.

"Seterusnya, lima objektif pertahanan negara telah dikenal pasti iaitu pembangunan pelbagai domain keupayaan ATM, peningkatan daya ketahanan dalaman Malaysia melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat, pengukuhan kerjasama pertahanan, pemajuan industri pertahanan sebagai pemangkin ekonomi dan penginstitusian amalan tadbir urus terbaik," katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi menyokong objektif pertahanan tersebut, tiga tonggak strategi pertahanan telah dirangka bagi melindungi dan mempertahankan tiga kawasan lapisan berpadu iaitu kawasan teras, kawasan hadapan dan kawasan lanjutan.

Menurutnya, tiga tonggak itu adalah Cegah Rintang Berpadu, Pertahanan Komprehensif dan Perkongsian Berwibawa yang saling melengkapi antara satu sama lain.

"Kerajaan beriltizam untuk membangunkan ATM agar menjadi angkatan yang bersepadu, tangkas dan berfokus yang mempunyai lima ciri utama iaitu kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan berorientasikan misi," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan bertekad untuk menyemai budaya keselamatan dan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat kerana jatuh bangun sesebuah negara bergantung penuh pada kesatuan, ketahanan dan keampuhan rakyat dalam mendepani segala ancaman masa kini dan mendatang.

Menurutnya, kerajaan komited dalam memperkenalkan satu pendekatan baharu terhadap dasar sains, teknologi dan industri pertahanan negara dengan menjadikannya sebagai pemangkin ekosistem pertahanan dan pertumbuhan ekonomi negara.

"Kerajaan juga komited untuk meningkatkan penglibatan di peringkat global dalam menyumbang terhadap keamanan sejagat serta terus memainkan peranan penting dalam menerajui kerjasama pertahanan subrantau dan menonjolkan kepimpinan Malaysia dalam isu keselamatan dan pertahanan selari dengan konsep Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah.

"Dalam memastikan amalan tadbir urus yang baik melalui ketelusan, akauntabiliti dan kecemerlangan organisasi, KPP turut menggariskan kepentingan reformasi pertahanan antaranya melalui mekanisme seperti Jawatankuasa Pemilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri.

"Oleh yang demikian, bagi memaksimumkan keesahan, penerimaan dan kebolehpercayaan KPP, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mendukung aspirasi KPP dalam mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur," katanya.

Terdahulu beliau membentangkan KPP bertajuk Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur kepada Dewan Rakyat dalam usaha Kementerian Pertahanan untuk mengamalkan tadbir urus yang lebih terbuka, telus, inklusif dan progresif.