KPM nafi tender dibolot penyokong Bersatu

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan bahawa tender perkhidmatan bekalan makanan bermasak di asrama sekolah dibolot penyokong Bersatu.

KPM turut menyangkal dakwaan dibuat seorang pemilik akaun Facebook yang mengatakan tender itu turut diluluskan kepada penender tidak layak dan pihak-pihak yang rapat dengan menteri dan Ketua Setiausaha KPM.

Dalam satu kenyataan, KPM menegaskan, ia merupakan tohmahan liar dan fitnah jahat yang bertujuan memburukkan imej Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan kementerian itu.

Susulan dakwaan itu, katanya, KPM membuat laporan polis berhubung tulisan berkenaan.

"KPM mahu pihak berkuasa menyiasat tohmahan itu yang bertujuan menimbulkan persepsi buruk dan negatif dalam kalangan masyarakat terhadap KPM di bahawa kerajaan baharu," katanya.

Menurut kenyataan itu, KPM telah mengambil segala usaha untuk memastikan amalan berintegriti termasuk membuat penambahbaikan kepada tadbir urus tender projek, di bawah kerajaan baharu.

"Bagi memastikan perkara itu, buat pertama kalinya perolehan pada 2018 telah sepenuhnya dilaksanakan secara atas talian yang telus melalui sistem ePerolehan (eP).

"Ia diarahkan oleh Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 29 Jun 2018 kepada semua kementerian supaya mengguna pakai sistem eP sepenuhnya bagi memastikan sistem perolehan kerajaan secara atas talian bagi menjana faedah maksimum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, katanya, KPM sudah melaksanakan sebanyak 793 tender sepenuhnya melalui sistem eP, melibatkan 319 tender perkhidmatan membekal makanan bermasak (BMB), 215 tender perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK) dan perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan (PBK) dengan 259 tender.

Menerusi sistem eP, KPM berkata, Lembaga Perolehan KPM membuat keputusan berdasarkan matriks penilaian yang ditetapkan Kementerian Kewangan dengan markah penilaian juga dijana melalui sistem berkenaan.

Katanya, lembaga itu dipengerusikan oleh timbalan-timbalan ketua setiausaha KPM, selain disertai wakil dari Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya bagi memastikan keputusan dibuat dengan penuh integriti dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

"Menteri, ketua setiausaha kementerian, setiausaha politik menteri dan Setiausaha Bahagian Perolehan KPM tidak terlibat sama sekali dalam mesyuarat Lembaga Perolehan serta tidak terlibat dalam sebarang proses membuat keputusan," katanya.

Menurutnya, terdapat lima jawatankuasa terlibat dalam proses penilaian setiap tender melibatkan Jawatankuasa Spesifikasi, Jawatankuasa Pembuka, Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Penilaian (kombinasi pembuka, teknikal dan kewangan).

Seramai 2,018 ahli menganggotai semua jawatankuasa itu iaitu 1,112 ahli untuk tender perkhidmatan BMB, 454 ahli PKK dan 452 untuk KBK.

"Setelah tender ditutup, Bahagian Perolehan telah menerima 207,432 tawaran pembekal yang menyertai tender. Daripada jumlah ini, hanya 0.4 peratus atau 793 pembekal yang telah berjaya mendapat 793 tender yang ditawarkan itu.

"Baki 206,639 petender yang bersamaan 99.96 peratus lagi tidak berjaya dengan sebab bilangan projek yang sedikit berbanding bilangan penender yang menyertainya," katanya.