SPR bincang mesyuarat PRK Parlimen Kimanis dalam masa terdekat

Azhar Azizan
Azhar Azizan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dalam tempoh 60 hari selepas Mahkamah Persekutuan semalam mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di kerusi itu ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai tidak sah dan terbatal.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat PRK untuk membincangkan tarikh penting PRK yang perlu diadakan dalam masa tidak kurang dari empat hari dan tidak lebih 10 hari daripada tarikh penerimaan perakuan tersebut.

Beliau berkata, SPR akur pada keputusan tersebut malah akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan insiden ketidakpatuhan peraturan pilihan raya sehingga menjejaskan keputusan pada masa akan datang.

"Sebelum ini, Akademi Pilihan Raya yang bertanggungjawab melatih petugas pilihan raya diarahkan untuk memberi penekanan terhadap hal ini. Ini perlu dilihat bahawa sejak PRU14 tidak ada lagi apa-apa tuduhan pelanggaran peraturan pilihan raya oleh petugas sepanjang sembilan pilihan raya kecil selama ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerusi Kimanis: Anifah sedih, Warisan terima keputusan mahkamah

Semalam, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos tahun ini yang mengisytiharkan kemenangan Anifah di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen itu pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi. Beliau memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

Artikel Berkaitan: