Kerani, ejen pelancongan ditipu scammer

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor
A
A

KEPALA BATAS - Seorang kerani kerugian RM20,230 apabila terpedaya iklan pinjaman wang tidak wujud di internet.

Wanita yang berusia awal 30-an itu pada mulanya berminat untuk buat pinjaman sebanyak RM40,000 dan berurusan dengan ejen syarikat melalui telefon.

Difahamkan ejen syarikat pinjaman itu kemudian meminta maklumat diri mangsa untuk proses permohonan dan memaklumkan pinjamannya lulus namun dia perlu membuat beberapa bayaran proses termasuk denda kerana pengadu dikatakan disenarai hitam oleh Data Systems Sdn Bhd (CTOS).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa percaya dengan ejen terbabit kerana dijanjikan wang bayaran itu akan dikembalikan semula berserta wang pinjaman.

"Wanita itu telah membuat bayaran secara berperingkat ke dalam beberapa akaun diberi dengan jumlah keseluruhan RM20,230.

"Mangsa hanya sedar ditipu apabila dia masih diminta buat bayaran namun wang yang ingin dipinjam sehingga sekarang tidak diterima," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Noorzainy berkata, menyedari dia ditipu wanita berkenaan tampil membuat laporan polis.

Sementara itu dalam kes berasingan, Noorzainy berkata, seorang ejen pelancongan kerugian RM21,000 selepas menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara.

Menurutnya, lelaki berusia 50-an itu pada mulanya terima panggilan telefon dari pegawai bank yang memaklumkan dia ada tunggakan kad kredit.

Katanya, mangsa menafikannya sebelum panggilan itu kononnya disambungkan ke pegawai Bank Negara untuk buat laporan.

"Mangsa kemudian diberitahu, hasil semakan kad pengenalan akaunnya didapati terlibat dalam kes penipuan.

"Mangsa kemudian diminta untuk pindahkan kesemua wangnya ke dalam akaun bank yang diberi untuk tujuan siasatan dan wang akan dipulangkan setelah siasatan selesai dalam masa tiga hari," katanya.

Noorzainy berkata, disebabkan takut mangsa memindahkan kesemua wangnya ke akaun bank diberi berjumlah RM21,000.

"Mangsa hanya sedar ditipu apabila dia menghubungi pihak bank bagi bertanyakan mengenai perkara itu sebelum membuat laporan polis," katanya.

Katanya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.