Sempat pesan agihkan beras sebelum meninggal dunia

Paparan Facebook Allahyarham Abd Ghani Haron.
Paparan Facebook Allahyarham Abd Ghani Haron.
A
A
A

KUALA MUDA - Pemergian seorang insan memiliki jiwa murni, Abd Ghani Haron ditangisi netizen setelah berita sedih itu dimuat naik di Facebook peribadinya, semalam.

Dikenali Haji Abd Ghani, beliau meninggal dunia pada usianya 63 tahun di Hospital Abd Halim pada jam 5.35 petang semalam dan selamat dikebumikan hari ini jam 10 pagi di tanah perkuburan Masjid Al-Barakah Tikam Batu, Sungai Petani.

Menerusi status Facebooknya, Allahyarham sempat memberi amanah terakhir supaya 1,500 kampit beras secara percuma diagihkan kepada orang ramai.

"Amanah dari Cikgu Abd Ghani Haron, permintaan terakhirnya untuk bersedekah. Agihan dimulakan pada 2 Disember bermula solat Subuh.

"Permintaan Allahyarham juga supaya sesiapa yang hadir menziarahinya supaya dapat sama-sama solat jenazah di Masjid Al-Barakah, Tikam Batu jam 10 pagi," tulis Admin Facebook tersebut.

Bagaimanapun, Allahyarham tidak dapat menyampaikan sendiri sumbangan itu apabila orang ramai hadir ke rumahnya di Kampung Tikam Batu dan masjid untuk mengiringinya ke dunia 'hakiki' hari ini.

Netizen yang menangisi pemergiannya turut berkongsi kebaikan dilakukan Allahyarham sepanjang hayatnya hingga tular di laman sosial.

Kata Hadfiz Ibn Ghazali, "Cikgu Ghani ni selalu sedekah minyak motosikal percuma pada penunggang motosikal. Semoga ALLAH ampunkan dosanya. Jadikan amalannya di dunia sebagai ganjaran di akhirat, semoga ditempatkan bersama para solihin."

Artikel Berkaitan:

"Innalillahiwainnailaihiraajiun. Perginya seorang dermawan, ganjaran kebaikan buat arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan tergolong dalam kalangan orang-orang yang soleh," kata Aida Suhaya pula.

Shamizah Affendi turut mengagumi keperibadian Allahyarham yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan dan mendoakan arwah ditempatkan dalam kalangan kekasih ALLAH.

"Sesungguhnya jasa arwah Tuan Haji dalam kerja-kerja amal tersangatlah banyak. Saya sudah mengikuti program jariah arwah sejak beberapa tahun yang lepas.

"Hilang satu saluran untuk jariah selepas pemergiannya. Turut terkesan dengan berita ini. Semoga ALLAH beri kekuatan kepada keluarga yang ditinggal pergi. Amin," tulisnya.