'Terpulang Arteta buat keputusan'

Pep Guardiola bersama Mikel Arteta -Foto AFP
Pep Guardiola bersama Mikel Arteta -Foto AFP
A
A
A

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola tetap berharap pembantunya, Mikel Arteta terus berada dalam barisan kejurulatihan skuad The Citizens.

Begitupun, Guardiola memberitahu, Arteta yang juga bekas bintang Arsenal dan Everton bebas membuat keputusan jika mendapat tawaran membimbing kelab lain.

Selepas pemecatan Unai Emery kelmarin, nama Arteta dicanang sebagai antara calon untuk membimbing The Gunners. Pada masa sama, Arteta turut dikatakan sebagai calon pilihan menerajui Everton jika Marco Silva dipecat.

“Buat masa ini, saya tidak tahu perancangan Mikel pada masa akan datang. Saya juga tidak tahu perancangan pihak pengurusan Arsenal sama ada mahu mendapatkan Mikel atau tidak.

“Saya tidak tahu sama ada Arsenal ada menghubunginya sebelum ini tetapi saya harap Mikel akan terus kekal bersama kami. Jika Arsenal mahukannya, mereka akan menghubungi kelab,” kata Guardiola.

Biarpun agak keberatan melepaskan mana-mana staf kejurulatihannya, Guardiola tetapi menganggap ia satu penghormatan apabila ada kelab lain mahu mendapatkan khidmat mereka.

“Apa yang saya mahukan adalah kami kekal bersama musim ini dan musim akan datang tetapi saya tidak tahu apa perkara terbaik buat mereka. Saya hanya mahukan yang terbaik buat pasukan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: