Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut nahas lima kenderaan

Keadaan sebuah kenderaan yang remuk akibat kemalangan. -Foto ihsan pembaca
Keadaan sebuah kenderaan yang remuk akibat kemalangan. -Foto ihsan pembaca
A
A
A

REMBAU - Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 234.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Pedas Linggi dekat Rembau, awal pagi ini.

Kejadian 1.10 pagi itu melibatkan motosikal Kawasaki Ninja, sebuah kereta Proton Wira, dua pacuan empat roda dan sebuah van.

Mangsa yang maut ialah Muhammad Afiffuddin Ahmad, 22, manakala seorang bayi berusia setahun iaitu Khadijah Mohammad Nabil dan abangnya, Muhammad Khuzaifah yang menaiki proton Wira mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa beralamat di Taman Merlimau Utama, Melaka hilang kawalan sebelum bergesel dengan pacuan empat roda Toyota Hilux yang berada di lorong tengah.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh dan sebuah Ford Ranger yang mengekori Toyota Hilux dari arah belakang terlanggar mangsa selepas gagal untuk mengelak, manakala pemandu Proton Wira yang berada di lorong kanan semasa kejadian turut sama untuk mengelak, namun hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah van jenis Ford Transit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan Muhammad Afiffuddin meninggal dunia di lokasi dan mayatnya dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat, manakala dua penumpang Proton Wira yang cedera ringan dihantar ke Hospital Alor Gajah, Melaka untuk rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan: