Ilmu sebagai akar tunjang Islam

A
A
A

PENGUMUMAN oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai perubahan waktu solat Subuh bagi seluruh negeri Selangor mulai 29 November amat menarik bagi saya atas beberapa sebab.

JAIS mengumumkan yang mulai tarikh di atas, tempoh masuk waktu sembahyang Subuh ditambah lapan minit daripada waktu asal.

Perubahan waktu Subuh itu dibuat hasil kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan penyelidik daripada Universiti Malaya (UM) berdasarkan kepada kecerahan langit pada tempoh masa berkenaan.

Walaupun laporan media mengenai pengumuman JAIS itu tidak memberi perincian berkenaan kaedah penyelidikan oleh penyelidik UM, namun jelas bahawa ia adalah berdasarkan sains.

Antara sebab mengapa saya kata pengumuman JAIS itu menarik ialah pertama hakikat bahawa Islam mengutamakan ilmu dan pengetahuan mengenai alam dan kejadiannya.

Banyak ayat al-Quran menceritakan tentang kejadian alam semesta dan memerintahkan manusia agar mengkaji, memahami dan seterusnya mengakui keagungan Tuhan.

Kedua mengenai pengalaman peribadi. Di saat ini, di tempat di mana saya berada, waktunya tujuh jam terkebelakang daripada di Malaysia. Maksudnya kalau di Malaysia jam 12 tengah hari, di sini baru jam tujuh pagi.

Semasa saya menulis rencaca ini, waktunya jam sembilan malam hari Khamis bersamaan jam empat pagi hari Jumaat di Malaysia. Itu adalah kerana tempat ini berada di sebelah barat negara kita.

Artikel Berkaitan:

Oleh sebab ia terletak jauh ke utara Khatulistiwa, ia mengalami empat musim iaitu musim bunga, musim panas, musim gugur dan musim sejuk.

Sekarang musim sejuk dan suhunya pada saat saya menulis ialah sembilan darjah Celsius manakala di Kuala Lumpur 25 darjah Celsius.

Waktu solat pula ialah Subuh 5.58 pagi lebih kurang macam, kita tetapi Zuhur 12.14 tengah hari, Asar 2.55 petang, Maghrib 4.39 petang dan Isyak 6.23 petang. Maksudnya Asar hingga Isyak berlaku dalam tempoh enam jam.

Maka bagi orang Islam di sini mengerjakan solat tidaklah semudah kita Malaysia atau di mana-mana tempat di Khatulistiwa yang waktunya hampir sama sepanjang tahun. Di sini, lain musim lain pula waktu solatnya.

Semasa saya belajar solat dulu, saya diberitahu supaya menghala ke arah matahari turun kerana itulah arah Kaabah. Kita pun ikut tetapi sebenarnya tidak tepat.

Pertama, kalau dari negara kita Malaysia, Kaabah tidaklah terletak betul-betul arah matahari turun dan kedua, kedudukan matahari di ufuk timur dan barat berubah mengikut musim.

Arah sebenar Kaabah dari negara kita ialah barat laut. Tetapi di tempat di mana saya berada sekarang, kita solat mengarah tenggara atau lebih kurang ke arah matahari naik.

Orang Algeria pula solat mengarah timur, orang Somalia utara, orang India barat dan orang bahagian barat Rusia selatan. Tetapi semuanya mengarah Kaabah.

Jadi dalam contoh kecil mengenai tambahan lapan minit kepada waktu asal masuk Subuh ini pun kita sudah boleh nampak akan betapa pentingnya ilmu dan pengetahuan sains.

Natijahnya, ilmu pengetahuan sangat penting dan diutamakan oleh Islam. Cuma banyak orang Islam tidak mengetahuinya atau mereka telah dipesongkan daripada ajaran sebenar agama mereka.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara