Tak lena tidur mahu jumpa PM

Dr Mahathir menyampaikan bantuan kepada kepada penerima sempena lawatan beliau ke Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, hari ini. Gambar kecil: Mohd Firdaus
Dr Mahathir menyampaikan bantuan kepada kepada penerima sempena lawatan beliau ke Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, hari ini. Gambar kecil: Mohd Firdaus
A
A
A

KUALA TERENGGANU – “Saya tidak lena tidur malam tadi sebab tidak sabar nak jumpa perdana menteri,” kata Mohd Firdaus Mohd Mohd Azmi, penghuni Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, di sini.

Mohd Firdaus, 15, merupakan salah seorang penghuni Taman Sinar Harapan yang menerima bantuan kelengkapan sekolah disampaikan sendiri Tun Dr Mahathir Mohamad sempena lawatan ke taman itu hari ini.

Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin itu berkata, dia tidak menyangka berpeluang bersalam dan menatap wajah Perdana Menteri ke-7 secara langsung.

“Biasa tengok dia (Dr Mahathir) dalam tv (televisyen), hari ini dapat jumpa depan-depan.

“Saya kagum dengan dia. Hari ini saya bangun jam 5 pagi nak jumpa PM,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Warga Taman Sinar Harapan dan Anak eKasih di Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, hari ini.

Hadir sama isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya.

Seorang lagi penghuni, Mohd Hadi Abdullah, 13, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Besar turut meluahkan rasa teruja dengan kunjungan Tun Mahathir ke pusat pelindungan tersebut.

“Suka dapat jumpa PM sebab dia comel,” kata Mohd Hadi yang sudah empat tahun menetap di taman tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir yang tiba di Taman Sinar Harapan kira-kira jam 10.45 pagi sempat melawat asrama pusat jagaan itu dan menyampaikan sumbangan kepada 10 penghuni taman dan lima anak peserta e-Kasih.

Taman Sinar Harapan ditubuhkan pada tahun 1984 bagi memberi penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah pembelajaran berusia antara 0 hingga 14 tahun.

Ia kini dihuni 62 penghuni yang dipantau oleh 59 kakitangan.

Antara khidmat dan kemudahan disediakan di sana adalah latihan kemahiran atau pembelajaran, rawatan dan pemulihan, jagaan dan perlindungan.

Mampu memuatkan 100 penghuni dalam satu masa, Taman Sinar Harapan turut menyediakan latihan hidroterapi, fisioterapi, muzik terapi, kelas pendidikan jasmani, kelas fardu ain dan sesi kaunseling.