X

Kindly register in order to view this article
!

Nekmat tawar hasil perikanan segar, murah

Abdul Hamid menunjukkan produk ikan sejuk beku yang dipasarkan oleh Nekmat.
A
A

JOHOR BAHRU - Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) terus mempromosikan jualan dalam taliannya pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengguna.

Pengerusinya, Abdul Hamid Bahari berkata, pengguna kini lebih gemar membeli barang secara dalam talian dan sambutan terhadap platform itu menerusi pautan nekmatbiz.com.my yang diperkenalkan pada Julai tahun ini, begitu menggalakkan.

Menurutnya, pihaknya membeli ikan segar daripada nelayan yang terus dihantar ke tempat simpanan sebelum dibekalkan kepada pengguna.

“Pengguna minta apa sahaja ikan dan kita akan membekalkannya kepada mereka. Selain itu, kita tonjolkan juga tanggungjawab kita kepada masyarakat nelayan dan peranan yang dimainkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di reruai Nekmat sempena HPPNK 2019 yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall di sini sehingga esok.

Abdul Hamid berkata, hasil perikanan yang dipasarkan Nekmat segar dan harganya amat berpatutan.

Pengunjung HPPNK 2019 membeli ikan bilis yang dibawa dari Terengganu.
Pengunjung HPPNK 2019 membeli ikan bilis yang dibawa dari Terengganu.

Menurutnya, pihaknya membekalkan produk ikan sejuk beku jenama QFish yang mendapat permintaan tinggi khususnya daripada pengusaha restoran.

“Rakyat Malaysia semakin gemar menggunakan produk sejuk beku ini dan kita berharap sambutan ini akan berterusan kerana ikan ada pada masa tertentu sahaja.

“Jadi kita perlu membuat simpanan stok sebagai food security untuk memastikan bekalan ikan mencukupi pada musim-musim tertentu seperti tengkujuh, berlaku bencana alam dan sebagainya,” katanya.

Abdul Hamid berkata, Nekmat ingin membawa satu perubahan dan HPPNK yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjadi platform menonjolkan kebaikan yang dilakukan untuk nelayan di negara ini.

“Kita mempunyai bot laut dalam, yang mana ikan-ikan segar ini dinaikkan di Perlis atau di tempat-tempat yang kita memasarkannya sendiri dan sambutan diperolehi begitu menggalakkan sehingga tidak mencukupi.

“Hasrat kita juga dengan modal sendiri dan memohon sedikit dana daripada kerajaan untuk meneruskan kesinambungan ini. Nekmat akan memainkan peranan penting untuk kestabilan harga ikan,” katanya.

Beliau berkata, Nekmat sentiasa mencari rezeki tambahan untuk menambahkan pendapatan untuk kepentingan ahlinya.

Katanya, Nekmat, LKIM dan Jabatan Perikanan ingin memastikan teknologi baharu akan memberikan keberkesanan kepada nelayan-nelayan apabila diaplikasikan.

Abdul Hamid berkata, Nekmat menandatangani perjanjian dan bekerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi mewujudkan usaha sama dengan remote sensing untuk mengenal pasti kedudukan ikan.

“Masa dan tenaga dapat dijimatkan. Teknologi tangkapan ikan perlu merubah sektor ini supaya lebih efisien, hebat dan canggih,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!