Kawasan rendah di Rantau Panjang mula ditenggelami banjir

Penduduk di Kampung Lachang menggunakan bot sebagai pengangkutan utama selepas kampung mereka mulai dinaiki air.
Penduduk di Kampung Lachang menggunakan bot sebagai pengangkutan utama selepas kampung mereka mulai dinaiki air.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Hujan lebat yang turun sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kawasan rendah mula ditenggelami banjir ekoran limpahan air Sungai Golok.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa kampung yang berada di kawasan rendah seperti Lachang, Jejawi, Jeram Perdah, Tersang dan Bongor sudah ditenggelami banjir.

Rata-rata penduduk di kawasan berkenaan sudah mengambil langkah awal dengan menyimpan barangan di tempat selamat.

Mohd Nawi membuat titi menggunakan buluh bagi memudahkan pergerakan apabila banjir nanti.
Mohd Nawi membuat titi menggunakan buluh bagi memudahkan pergerakan apabila banjir nanti.

Bagaimanapun, setakat ini operasi pemindahan mangsa banjir masih belum dilakukan oleh agensi penyelamat.

Menurut portal INFOBANJIR, paras air Sungai Golok setakat jam 12 tengah hari tadi ia berada di kedudukan 8.89 meter menghampiri amaran iaitu 9 meter.

Setakat ini hujan lebat tanpa henti di sekitar pekan ini.

Situasi itu dijangka akan mempercepatkan lagi peningkatan paras air Sungai Golok ditambah pula dengan pembinaan benteng banjir setinggi 1.5 meter di sebelah Thailand yang sudah siap di beberapa tempat.

Artikel Berkaitan:

Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil air Sungai Golok akan mencecah paras bahaya yang mengakibatkan banjir dalam masa singkat.

Pegawai polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) meninjau paras air Sungai Golok setakat jam 12 tengah hari tadi ia berada di kedudukan 8.89 meter menghampiri amaran iaitu 9 meter.
Pegawai polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) meninjau paras air Sungai Golok setakat jam 12 tengah hari tadi ia berada di kedudukan 8.89 meter menghampiri amaran iaitu 9 meter.

Seorang penduduk di Kampung Tersang, Mohd Nawi Abdullah 49, berkata, dia mula membuat titi menggunakan buluh sejak semalam bagi memudahkan pergerakan apabila banjir nanti.

"Air mula masuk ke kawasan rumah saya sejak semalam ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu," katanya.

Mohd Nawi berkata, dia tidak menolak kemungkinan pembinaan benteng banjir di sebelah Thailand memberikan kesan apabila paras air Sungai Golok dilihat naik dengan laju berbanding sebelum ini.

Katanya, buat masa ini dia hanya mampu berdoa semoga banjir besar tidak melanda Rantau Panjang pada tahun ini.

Difahamkan, agensi penyelamat sentiasa membuat pemantauan dari masa ke masa dan memberikan peringatan kepada penduduk supaya bersiap sedia menghadapi banjir.