Impian tunai ibadah umrah lebur

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Hasrat 50 jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah menerusi sebuah agensi pelancongan yang berpangkalan di Kota Tinggi, Johor, lebur apabila mendakwa diperdayakan agensi tersebut.

Seorang mangsa, Mazuriani Abdul Rashid, 40, berkata, dia dan tujuh yang lain sepatutnya dijadualkan bertolak ke Makkah pada Ahad ini (1 Disember) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pulang ke tanah air pada 12 Disember ini.

Bagaimanapun, beliau mendakwa telah menerima pelbagai pesanan daripada wakil agensi itu menerusi aplikasi WhatsApp menyatakan terdapat masalah di saat-saat akhir.

"Lebih memburukkan keadaan, kami mendapat tahu perjalanan kumpulan jemaah dari Johor juga telah ditunda beberapa kali selain ada 28 individu yang mengambil pakej dari agensi sama, tidak dapat ke Makkah kerana masalah dokumen," katanya.

Mazuriani merupakan antara lebih 20 individu yang ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berhubung dakwaan itu hari ini.

Pesara tentera, Mohammad Sabri Muda, 57, yang telah membayar pakej berjumlah RM12,844 untuknya dan isteri berkata, pihak pengurusan agensi memberikan pelbagai alasan termasuk tiket penerbangan yang belum ditempah, sedangkan tarikh berangkat ke Tanah Suci tinggal dua hari lagi.

"Disebabkan tidak sedap hati, saya berhubung dengan beberapa lagi jemaah yang juga menyertai rombongan itu, namun semuanya memberitahu turut menerima pelbagai alasan sehingga kami sepakat untuk membuat laporan polis," katanya.

Difahamkan beberapa jemaah dari Johor juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaan terhadap agensi pelancongan itu, yang dikatakan telah beroperasi sejak tahun 2013. - Bernama

Artikel Berkaitan: