Sivarraajh dibenar cabar keputusan SPR

Sivarraajh Chandran
Sivarraajh Chandran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran memperoleh kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan beliau bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands 26 Januari ini.

Ianya susulan keputusan keputusan SPR yang melarang beliau bertanding dan mengundi dalam mana-mana pilihan raya dalam tempoh lima tahun.

Keputusan itu dibuat hakim Datuk Nordin Hassan dalam satu prosiding dalam kamarnya yang dihadiri peguam Vasanthi Arumugan yang mewakili Sivaaraajh dan Peguam Kanan Persekutuan, S. Narkunavathy bagi pihak SPR.

Vasanthi ketika ditemui pemberita memaklumkan, hakim turut menolak bantahan yang dikemukakan SPR dan menetapkan Khamis ini untuk mendengar permohonan bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu.

"Mahkamah menolak bantahan responden kerana mendapati terdapat isu yang perlu diputuskan melalui perbicaraan," katanya.

Narkunavathi pula memaklumkan pihaknya mengemukakan bantahan awal atas alasan permohonan itu bersifat pra matang.

Dalam permohonan yang difailkan pada 31 Disember itu, Sivarraajh, 43, mengemukakan permohonan semakan kehakiman berhubung keputusan SPR selaku responden bahawa beliau tidak boleh didaftar dan disenaraikan sebagai pemilih atau pengundi dalam mana-mana pilihan raya dalam tempoh lima tahun bermula 13 Disember 2018.

Sehubungan itu beliau menuntut perintah bagi mendesak mahkamah membatalkan keseluruhan keputusan responden selain perintah deklarasi bahawa laporan Hakim Pilihanraya pada 14 Disember 2018 sebagai tidak sah kerana tidak mematuhi Seksyen 37(1)(a)(i) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama beliau menuntut deklarasi bahawa keputusan responden itu tidak setimpal, berlebihan dan merupakan penindasan terhadap dirinya.

Seterusnya beliau menuntut deklarasi bahawa keputusan tersebut tidak sah dan terbatal selain gantirugi am, gantirugi khas, kos dan relif lain yang sesuai.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sivarraajh kemuka rayuan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands hilang kelayakan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah batalkan keputusan PRU14 Parlimen Cameron Highlands]