Mahkamah batalkan keputusan PRU14 Parlimen Cameron Highlands

Foto: Malaysiakini
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Hakim Datuk Azizah Nawawi memutuskan amalan rasuah terbukti telah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan responden (Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk C. Sivarraajh) dalam pilihan raya itu, iaitu pemberian wang kepada pengundi untuk mendorong mereka mengundi BN.

“Bagaimanapun saya tidak akan melaporkan mana-mana individu yang telah dibuktikan pada perbicaraan yang didapati bersalah melakukan amalan rasuah itu kerana ketidakkonsistenan dalam keterangan saksi pempetisyen berhubung identiti orang yang sebenarnya menyerahkan wang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata tidak dipertikaikan bahawa Orang Asli akan mengalu-alukan sebarang bantuan sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan daripada semua pihak termasuk pemberian mesin pemotong rumput oleh pempetisyen (calon DAP M. Manogaran) sendiri.

Hakim itu seterusnya berkata bukti menunjukkan wang itu digunakan untuk perbelanjaan harian, tetapi niat penerima tidak relevan.

"Saya berpendapat pempetisyen telah berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa amalan rasuah terbukti iaitu wang itu diberi kepada pengundi sama ada secara langsung oleh responden atau secara tidak langsung melalui Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai) atau Achom (Orang Asli yang merupakan ejen kepada Wan Rosdy) dan wang tersebut diberi kepada pengundi untuk mendorong mereka mengundi (BN),” katanya dan menambah beliau akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai keputusan itu.

Hakim menyatakan walaupun terdapat percanggahan keterangan saksi semasa perbicaraan itu tentang siapakah yang menyerahkan wang berkenaan, tetapi tidak ada keraguan bahawa wang tersebut telah diserah kepada pengundi Orang Asli.

"Saya berpendapat bahawa perbuatan memberi yang harus dibuktikan. Walaupun terdapat percanggahan, tetapi tidak dipertikaikan bahawa wang itu telah diserahkan kepada Orang Asli.

"Oleh itu, saya mendapati amalan rasuah telah dilakukan dalam pilihan raya ini dengan pengetahuan responden. Oleh itu, saya mengisytiharkan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Cameron Highlands P 078 yang diadakan pada 9 Mei sebagai tidak sah,” katanya.

Dengan keputusan ini, pilihan raya kecil akan diadakan di kawasan berkenaan.

Hakim turut mengarahkan responden (Sivarraajh) membayar kos RM15,000 kepada pempetisyen (Manogaran).

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan saksi termasuk penduduk Orang Asli dalam kawasan berkenaan.

Manogaran, 59, memfailkan petisyen itu pada 4 Jun lepas memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah terbatal dan tidak sah kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana (responden) Sivarraajh didakwa merasuah pengundi iaitu penduduk Orang Asli untuk mengundi beliau.

Beliau juga mendakwa Sivarraajh, yang berkempen bersama-sama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang kini Menteri Besar Pahang, memberi rasuah kepada pengundi Orang Asli antara RM30 dan RM1,000 melalui beberapa Tok Batin bagi memastikan mereka mengundi Barisan Nasional dalam pertandingan lima penjuru untuk merebut kerusi Cameron Highlands.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi itu dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan empat lagi calon.

Peguam K. Shanmuga, mewakili Manogaran manakala Sivarraajh diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia