Memimpin dengan nurani

A
A
A

MENJADI pemimpin bukan sekadar kerana dipilih oleh rakyat dalam sistem demokrasi, akan tetapi kehadiran seorang pemimpin dalam masyarakat sering diukur daripada tingkah laku dan bicara kata-kata.

Tingkah laku pemimpin kerap mengejutkan. Sering diperhatikan gelagat pemimpin kadang-kadang daripada kaca mata masyarakat tidak wajar dan janggal. Bagi orang biasa mungkin lazim tetapi bagi seorang pemimpin, akan dibualkan khalayak ramai.

Ada pemimpin berasa tidak apa jika sekadar suatu hiburan biasa untuk menari dan menyanyi di khalayak ramai. Namun, janggal di sisi orang ramai. Gelagat biasa tidak boleh dianggap biasa bagi seorang pemimpin.

Bergaduh sehingga melontar kata-kata tidak sopan dianggap perkara biasa tetapi ia melambangkan kualiti seorang pemimpin terutama bila dilakukan di depan khalayak.

Memang pemimpin perlu dilihat tegas tetapi ketegasan tanpa kesopanan memburukkan imej dan citra. Apabila berbicara dengan kasar, apatah lagi menjerit, memaki-hamun dan melontar kata-kata tidak sopan, bukan kelaziman seorang pemimpin.

Lagi tinggi jawatan disandang, lagi dekat diawasi masyarakat kerana pemimpin di posisi tinggi yang sering menghamburkan kenyataan, sering dipaparkan media. Adakala pemimpin tidak cermat bila berbicara, malah ada masa mencetuskan konflik.

Wakil rakyat adalah status pemimpin yang paling tertonjol diperhatikan oleh rakyat. Apatah lagi, pemimpin yang punya status jawatan sebagai menteri Kabinet.Sedikit sangat hal peribadi yang dapat diselindung.

Kata-kata biasa apabila dilafaz oleh seorang pemimpin yang berstatus wakil rakyat pasti diawasi dan diperhatikan oleh media. Media cepat mengolah kata-kata dan memberi tafsir tersendiri.

Artikel Berkaitan:

Pemimpin yang memimpin dengan nurani punya sahsiah yang dihormati. Walaupun mungkin tidak bergelar dengan pangkat dan kedudukan, akan tetapi ia tetap membawa bekas bila ia berada di tengah masyarakat. Malah, dengan nuraninya ia lebih tawaduk dan sedar diri. Tugasnya adalah menangislah, bukan mencari salah.

Nurani adalah jiwa dan minda jernih yang sentiasa mengingatkan seorang pemimpin bahawa dia menanggung amanah. Nurani memberitahu bahawa seorang pemimpin sedar diri bahawa jawatan bukan suatu prestij, bukan juga kesempatan untuk meraih dan membolot kekayaan.

Nurani memandu seorang pemimpin bahawa kebenaran menjadi tonggak. Pemimpin seharusnya sentiasa dipandu oleh rasa hati yang murni. Selalu sensitif kepada kebenaran dan mempertahankannya. Berhati-hati pada setiap kata-kata. Tidak menyinggung, tidak mengherdik.

Nampaknya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, pemimpin mempamerkan watak masing-masing. Awalnya dilihat segak bertali leher, namun apabila berhujah terserlah tidak berhemah.

Serang menyerang menjadi kelaziman. Meninggikan suara dan melontar kata-kata nista dianggap kebiasaan. Kata mereka untuk memanaskan perbahasan, akan tetapi yang jelas menonjolkan keangkuhan.

Pemimpin tanpa nurani inilah yang sering menjadikan nilai kepimpinan sangat rendah. Nurani rakyat pula memerhati dan membuat perhitungan. Mereka menyimpan amarah ketika pilihan raya. Pemimpin yang tidak peka dengan nurani rakyat akan menerima akibat.

Tidak mudah memahami nurani rakyat. Bila ada pemimpin yang turun melihat masalah rakyat tetapi sibuk bergambar dan diiringi dengan puluhan pengiring, maka itu bukan memimpin dengan nurani.

Pemimpin dengan nurani tidak janggal melawat rakyat berseorangan. Ia tidak ghairah menonjol diri ketika bersama rakyat. Nurani adalah suara hati. Jika fikiran tidak lurus, nurani membetulkan, namun bila nurani rosak, kepimpinan akan menjadi jahat.

Maka, pemimpin yang berfikir untuk memperalatkan rakyat akhirnya akan berdepan rakyat yang akan mengukur prestasi seorang pemimpin dengan nurani mereka.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu