X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada permohonan Lembaga Pengarah FICSB beli Merdeka Palace Hotel: Saksi

Ayat FB: Bekas setiausaha Lembaga Felda memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas setiausaha Lembaga Felda hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa tiada permohonan dikemukakan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) untuk mendapatkan kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPSH) di Kuching, Sarawak.

Erwan Aman, 44, berkata berdasarkan keputusan Minit Mesyuarat Lembaga Felda 321, pembentangan Laporan Kemajuan FICSB pada 1 Disember 2014 yang dibuat bukan satu permohonan ALP FICSB bagi mendapatkan kelulusan pelaburan pembelian MPHS daripada Lembaga Felda sebaliknya hanya laporan kemajuan mengenai pelaburan yang telah dibuat oleh FICSB sahaja.

"Tidak ada sebarang permohonan untuk meratifikasi kelulusan perlaburan yang dibuat oleh ALP FICSB semasa mesyuarat Lembaga Felda berlangsung.

"Sepatutnya FICSB mengemukakan kertas lembaga berasingan untuk memohon ratifikasi kelulusan pelaburan yang dibuat melebihi RM100 juta khususnya berkaitan dengan pembelian MPHS," katanya ketika membaca penyataan saksi.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya S. Nithtia pada hari ke-13 perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta membabitkan MPHS bernilai RM160 juta yang dihadapi Mohd Isa.

Erwan, yang kini Ketua Bahagian Modal Insan, Bahagian Latihan, Jabatan Sumber Manusia, Felda berkata, Kertas Laporan Kemajuan FICSB hanya untuk melaporkan dan bukan bertujuan untuk mendapatkan kelulusan pelaburan daripada Lembaga Felda.

"Ia hanya untuk melaporkan kemajuan aktiviti-aktiviti pelaburan FICSB untuk makluman Lembaga Felda. Sepatutnya, sebarang pelaburan yang melebihi RM100 juta oleh FICSB hendaklah dibentangkan dengan mengemukakan kertas cadangan permohonan kelulusan pelaburan untuk kelulusan Lembaga Felda selaras dengan keputusan Lembaga Felda dalam Minit Mesyuarat Lembaga Felda 303 pada 25 Jun 2016.

"Sama ada Lembaga Felda memutuskan untuk melulus atau tidak Kertas Cadangan Permohonan untuk kelulusan pelaburan itu harus dibentangkan kepada Lembaga Felda.

"Jika tiada sebarang kelulusan daripada Lembaga Felda, pembelian MPHS tidak mendapat kelulusan Lembaga Felda," jelas Erwan.

Pada prosiding perbicaraan sebelum ini, saksi pendakwaan iaitu Pegawai Tadbir Felda, Siti Salwani Mohd Salleh; Pemangku Ketua Pegawai Kewangan FICSB, Azlan Mohamed Ismail; bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Zaid Abdul Jalil masing-masing mengesahkan pembelian MPSH tidak mendapat kelulusan daripada Lembaga Felda.

Erwan, saksi pendakwaan ke-19, juga berkata, kuasa mutlak meluluskan pelaburan bernilai atas RM100 juta adalah kuasa Lembaga Felda.

"Bidang kuasa FICSB tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh Lembaga Felda walaupun ALP FICSB dan Felda merupakan orang yang sama," katanya.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Salehuddin Saidin, adakah cara lain yang digunakan oleh pihak pengurusan Felda untuk memberitahu FICSB mengenai mandat pelaburan RM100 juta, Erwan menjawab: "Ada, melalui minit diberikan kepada pengurusan FICSB".

"Saya perlu semak dahulu," katanya apabila diminta Salehuddin untuk mengesahkan minit mesyuarat tersebut.

Saksi juga bersetuju dengan peguam bahawa beliau hanya mengetahui ratifikasi pelaburan RM100 juta hanya di atas kertas sahaja.

Salehuddin: Perkara yang melibatkan ratifikasi pelaburan RM100 juta bukan tugas kamu, ia kelulusan daripada ALP Felda dan Pengarah Besar Felda?

Erwan: Betul.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 13 Januari depan. - Bernama

Thursday, 28 November 2019


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus