Kajian lengkap gantian kepada hukuman mati dijangka siap 2020

Peserta town hall bergambar bersama Richard selepas program berakhir.
Peserta town hall bergambar bersama Richard selepas program berakhir.
A
A
A

KOTA BHARU - Laporan lengkap berhubung kajian hukuman gantian terhadap hukuman mati dijangka siap sepenuhnya pada hujung Januari tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Kajian Cadangan Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori, Tan Sri Richard Malanjum berkata, analisa penuh akan dilakukan selepas sesi town hall bersama Ahli Parlimen dibuat dalam masa dua minggu lagi.

Menurutnya, pihaknya perlu menganalisis semua pandangan disuarakan orang ramai, pihak berkuasa, pakar-pakar dan kumpulan berkepentingan menerusi town hall dijalankan sebelum menyerahkan laporan tersebut kepada menteri untuk dibentangkan di Kabinet.

“Berdasarkan town hall sebelum ini, pelbagai pandangan diberikan. Ada yang mahu hukuman mati mandatori dikekalkan, menghapuskan mandatori dan mati serta menyerahkan budi bicara mahkamah bagi menentukan hukuman alternatif yang munasabah kepada penjenayah.

“Di Kelantan hari ini, banyak cadangan yang diberikan berbanding negeri lain. Ada yang berpandangan hudud dijadikan sebagai hukuman gantian. Semua pandangan ini kita kumpul dan buat analisis apakah hala tuju perlu diambil seterusnya,” katanya kepada media hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah turut memberikan pandangan pada sesi town hall hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah turut memberikan pandangan pada sesi town hall hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri sesi town hall di Kompleks Kota Darul Naim yang dikendalikan Pengarah Jabatan Keselamatan Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr P Sundramoorthy.

Dalam masa sama, Richard memaklumkan, pihaknya belum dapat membuat kesimpulan awal menerusi town hall yang dilaksanakan meskipun terdapat pelbagai maklum balas diterima.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, kami belum kira sebab ada yang saya tidak hadir. Pada sesi yang saya hadir kebanyakan mahu alternatif kerana berdasarkan pandangan mereka hukuman mandatori ini kadang-kalanya dilihat kejam.

“Jelas sekarang ini kerajaan mahu menghapuskan mandatori bukan hukuman mati. Kami diberikan tugas untuk mendapatkan pandangan apakah hukuman alternatif kalau mandatori dihapuskan,” katanya.