X

Kindly register in order to view this article
!

'Sinkhole' perangkap pergerakan manusia

A
A

DALAM minggu ini, beberapa kejadian pelik berlaku di beberapa tempat di Malaysia termasuk Kuala Lumpur.

Pada Selasa lalu, viral insiden kereta Myvi berwarna kuning yang terjerumus ke dalam lubang besar (sinkhole) di Jalan Maharajalela. 'Sinkhole' itu dipercayai akibat pergerakan tanah.

Sehari sebelum kejadian tersebut, dipercayai berlaku gempa bumi besar di Thailand yang memberi kesan kepada pergerakan tanah di Malaysia.

Beberapa minggu lalu pula, berlaku kejadian tanah runtuh dan mendapan di beberapa tempat lain di seluruh negara.

Penulis tertarik dengan insiden lubang sedalam 5 meter dikesan berdekatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Jalan Pintasan Kuantan - Pelabuhan Kuantan Bypass.

Daripada perspektif teknikal dan kejuruteraan, mendapan tanah dipercayai akibat beberapa kemungkinan. Antaranya perubahan kandungan air dalam tanah di bawah permukaan muka bumi.

Keupayaan struktur tanah untuk menanggung beban daripada atas akan berkurangan sekiranya kandungan air atau kelembapannya berkurangan.

Misalnya tanah yang lembap bersifat lempung seperti 'clay'. Andai berlaku pengeringan, lempung dan lodak ini akan mengecut menyebabkan struktur tanah berubah.

Kestabilan tanah akan bertambah buruk jika muka air bawah tanah atau 'water table' menurun secara mendadak mengakibatkan kekurangan tekanan hidrostatik untuk menyokong beban yang sedia ada.

Andaian kedua berkemungkinan daripada pemampatan tanah yang tidak seimbang. Isu itu berlaku akibat tanah yang ditambak menggunakan bahan buangan pembinaan bercampur dengan bahan bukan batuan sekali gus menyebabkan mendapan di luar jangka.

Ada beberapa teori lain yang menyebabkan mendapan tanah antaranya kemungkinan ada akar pokok di bawah tanah atau lapisan galas tanah lemah akibat gegaran daripada peralatan mesin hentaman atau gempa bumi.

Laporan tidak rasmi menyebut kejadian mendapan tanah yang berlaku beberapa hari lalu ialah akibat kesan gegaran Gempa Bumi Senyap atau 'Silent Earthquake' (SE).

ALLAH menyebut perkara itu dalam surah An-Naba' bermaksud: Itulah hari yang pasti terjadi. Maka barang siapa yang menghendaki, nescaya ia menempuh jalan kembali kepada Tuhannya; Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu (hai orang kafir) siksa yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya; dan orang kafir berkata: Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah.

Petanda

Gempa bumi perlahan ialah kejadian gempa tidak berterusan iaitu gegaran akibat pelepasan tenaga dalam tempoh antara beberapa jam dan bulan mengikut jarak tertentu berbanding gempa bumi biasa.

Gempa bumi jenis SE ini seolah-olah tenang berbanding gempa biasa tetapi ia tidak diam seperti yang pernah berlaku di beberapa tempat di Indonesia sebelum ini.

Scientific American yang diterbitkan pada Mac 2004 menyebut: “Ancaman SE ialah kurang gegaran dan tidak semestinya gempa tidak berbahaya tetapi petanda dahsyat seperti tsunami atau lebih besar akibat berlaku kejutan tanah gementar.”

Laporan itu juga menyebut pada awal November 2000, Pulau Besar Hawaii atau Big Island of Hawaii mengalami gempa bumi terbesar dalam tempoh lebih daripada satu dekad.

Kira-kira 2,000km padu bawah tanah di lereng selatan gunung berapi Kilauea hingga ke arah laut melepaskan tenaga anggaran 5.7 pada skala Ricther secara mendadak.

ALLAH memberi amaran kepada manusia tentang gempa bumi ini dalam surah Al-A'raaf bermaksud: Kemudian mereka sembelih unta betina itu dan mereka berlaku angkuh terhadap perintah Tuhan. Mereka berkata: "Hai Salleh, datangkanlah apa yang kamu ancamkan itu kepada kami, jika (betul) kamu termasuk orang-orang yang diutus (ALLAH)." Kerana itu mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka.

Oleh itu, sifat tanah sinonim dengan perilaku manusia. Ia perlu dibentuk dan dirombak untuk menjadi lebih baik dan kukuh menggunakan teknologi serta sistem metodologi sejagat kerana asal sumber kejadian yang sama.

Daripada permasalahan tersebut, mendapan kini menjadi isu utama akibat pembinaan yang dilaksana di atas struktur tanah jenis lembut seperti gambut, liat dan organik.

Justeru, faktor kestabilan struktur tanah itu sendiri perlu dikaji secara mendalam. Kajian seperti integriti struktur binaan secara Perantara-mukaan Jalan-Jambatan demi menghubung kaitkan dengan faktor mendapan, aras air bawah tanah dan ciri serta sifat tanah ialah di antara perkara boleh laksanakan dengan teliti.

Sistem pemantauan gempa yang efisien juga perlu dilaksanakan dengan segara sebagai persiapan awal negara terhadap kesan gempa bumi.

Kesimpulannya, penulis berharap pihak berkuasa di negara ini dapat mendekati tokoh-tokoh yang arif dalam bidang pergerakan tanah supaya permasalahan 'sinkhole' boleh diatasi segera.

* Profesor Madya Dr Ir Muhidin Ariffin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!