Terengganu teliti cadangan haram jualan semua jenis telur penyu

Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan meminda Enakmen Penyu Negeri Terengganu 1951 (pindaan 1987) yang hanya melarang penjualan telur penyu belimbing ekoran kemerosotan populasi bagi semua spesies penyu buat masa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, cadangan bagi pindaan itu telah dirangka menerusi satu bengkel khas yang diadakan dan akan dikemukakan ke Pejabat Penasihat Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang membenarkan penjualan telur penyu kerana undang-undang yang kita sedia pakai membenarkan telur penyu spesies lain (bukan spesies penyu belimbing) dijual di pasar-pasar di negeri ini.

"Hal ini secara tidak langsung menimbulkan persepsi negatif terutama dalam kalangan badan-badan yang terlibat dengan pemuliharaan hidupan ini.

"Jadi, kita kini sedang mengkaji untuk penambahbaikan enakmen ini bersesuaian dengan situasi semasa yang kita alami serta mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pakar akademik, pihak Jabatan Perikanan dan mereka yang terlibat dalam pemuliharaan hidupan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Azman menjawab soalan tambahan Ir Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) mengenai penjualan telur penyu secara terbuka di negeri ini.

Dalam perkembangan sama katanya, jumlah denda yang dikenakan kepada mereka yang menjual telur penyu bagi spesies terancam juga tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan dan satu kajian bagi penambahbaikan perlu dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita akui hukuman dikenakan agak rendah kepada mereka yang didapati melakukan kesalahan menjual telur penyu terutama bagi spesies penyu yang diharamkan untuk penjualan.

"Sebab itulah perkara ini akan dikaji bagi membendung daripada berleluasa sekali gus dapat menyelamatkan serta meningkatkan populasi haiwan ini.

"Tambahan pula akhir-akhir ini jumlah pendaratan penyu semakin merosot malah dalam 1,000 anak penyu dilepaskan secara puratanya hanya seekor sahaja yang mampu hidup hingga mencecah usia dewasa," katanya.