Skandal 1MDB: Keputusan lucut hak PBRS 9 Januari 2020

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 9 Januari depan untuk keputusan permohonan pendakwaan bagi melucut hak ke atas wang RM1 juta daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak pada pendengaran permohonan itu hari ini.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh bertindak sebagai pemohon manakala peguam, K Lavinia mewakili PBRS.

Terdahulu, Farah Yasmin memaklumkan mahkamah bahawa pihak-pihak terbabit telah memfailkan hujahan bertulis.

“Hari ini kes ditetapkan untuk pendengaran,” katanya.

Pada Jun, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, permohonan perlucutan sivil telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan dari akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama

Artikel Berkaitan: