Musa Aman gagal cabar pelantikan Shafie

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak dengan kos, rayuan bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman terhadap penolakan samannya dalam mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Ketiga-tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Kamardin Hashim, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan bantahan awal responden untuk membatalkan rayuan itu.

Kamardin membacakan keputusan yang dibuat oleh para hakim dan memerintahkan Musa membayar RM20,000 kepada responden pertama Ketua Menteri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan RM50,000 kepada Mohd Shafie yang dinamakan sebagai responden kedua.

Musa diwakili oleh Tengku Fuad Tengku Ahmad, Datuk Anantham Kasinather dan S Vanugopal, manakala Juhar dan Mohd Shafie masing-masing diwakili oleh Peguam Negara Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin dan Datuk Douglas Lind.

Ketika membantah rayuan itu, Douglas mengemukakan surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Undangan Negeri Sabah, Shafaruddin Halide, menyenaraikan semua ahli Dewan Undangan Negeri Sabah dan gabungan politik mereka dengan majoriti oleh Parti Warisan Sabah pimpinan Mohd Shafie.

Douglas berharap mahkamah tidak mendengar rayuan itu kerana ia tidak mempunyai kesan kepada Shafie sekirannya rayuan itu dibenarkan.

Beliau berhujah bahawa rayuan itu adalah akademik kerana Mohd Shafie mempunyai suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)

Beliau memetik Perkara 6 (3) Perlembagaan Sabah bahawa 'Ketua Negeri Sabah akan melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang mempunyai majoriti dalam DUN'.

Artikel Berkaitan:

Jadi, ketua menteri memerlukan majoriti.

Perayu (Musa) tidak akan mencapai angka itu.

"Dia (Musa) tidak mempunyai angka itu, justeru dia tidak akan berkesan," katanya.

Ketika menyokong bantahan awal dan menerima hujah oleh Douglas, Zaleha Rose berkata, pelantikan ketua menteri adalah hak prerogratif ketua negeri Sabah.

Anantham memberitahu mahkamah bahawa kes yang melibatkan anak guamnya tidak termasuk dalam Perkara 7 (1) Perlembagaan Sabah, yang menyatakan keadaan apabila seorang ketua menteri tidak lagi mendapat keyakinan majoriti ADUN.

“Ketua menteri harus mengakui sudah hilang kepercayaan majoriti dan harus meminta pembubaran dewan,” katanya,

Merujuk kepada kes Menteri Besar Perak yang mana Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie mendasarkan keputusannya dalam saman Musa pada 7 November tahun lepas, Anantham berkata, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengakui kehilangan keyakinan dalam perhimpunan dewan negeri dan meminta pembubaran, yang ini bukan kes bagi Musa.

Tengku Fuad berkata, persoalan undang-undang adalah sama ada tingkah laku ketua negeri adalah mengikut Perlembagaan dan yang memutuskan sama ada Musa tidak lagi menjadi ketua menteri harus diserahkan di Dewan Undangan Negeri.

Vanugobal berkata, undi hilang keyakinan terhadap Musa tidak pernah berlaku ketika Sidang DUN.

Bagaimanapun undi keyakinan terhadap Mohd Shafie telah dibuat oleh ADUN, namun itu tidak sama dengan undi hilang keyakinan terhadap bekas ketua menteri itu.

Bercakap kepada pemberita selepas keputusan itu, Tengku Fuad melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan mahkamah rayuan itu.

“Kita akan membawa rayuan ni ke peringkat lebih tinggi secepat mungkin,” katanya.

Douglas berkata, pihaknya tidak ragu-ragu untuk memenangi dalam membantah rayuan itu dengan mengatakan Juhar dan Mohd Shafie mempunyai kes yang kuat. - Bernama