Penulis dan penulisan

A
A
A

BILA saya diajukan dengan soalan bagaimana caranya seseorang itu boleh menjadi penulis, jawapan saya beri dengan penuh kewaspadaan agar pandangan saya tidak disalahertikan. Lagipun penulis itu wujud dalam berbagai-bagai kumpulan dan penulisan pula boleh dikelompokkan ke dalam pelbagai genre.

Sementara jawapan boleh diberi secara umum, genre yang khusus memerlukan jawapan yang khusus pula. Penulis baru berlainan dengan penulis lama. Penulis muda berlainan pula jika dibandingkan dengan penulis tua.

Senario penulisan di negara dan di dunia ini sedang pesat berubah. Era digital sedang mencorakkan cara dan jenis penulisan. Misalnya, anak muda sudah lama meninggalkan pembacaan surat khabar dan melanggan surat khabar harian dalam talian. Industri e-buku dan e-majalah terus mendapat tempat dalam kehidupan pembaca tua dan muda walaupun buku serta majalah bercetak masih berlegar dalam pasaran.

Peristiwa dunia dan babak adegan manusia memberi kita ilham sebagai penulis. Kesibukan dunia pula boleh menghalang kita daripada menjadi penulis yang baik. Bagi penulis, ada persekitaran yang membantu atau menghalang penulis itu. Persekitaran itu merangkumi alam fizikal, alam sosial dan alam spiritual. Kesihatan psikologi penulis pun sangat penting dalam berkarya.

Bakat yang mengandungi aptitud dan kemahiran sangat penting dalam bidang penulisan. Namun tanpa inspirasi dan usaha, bakat tidak akan ke mana-mana. Orang yang kurang bakat tapi rajin dan boleh dididik lebih baik daripada orang yang berbakat tapi malas.

Penulis mestilah suka membaca. Seorang ulat buku dapat memikirkan tentang berbagai-bagai idea daripada bahan pembacaannya. Ia boleh menjadi penulis yang baik apabila idea-idea baru dapat dijana dan didedahkan kepada kritikan.

Seorang yang kuat membaca tidak semestinya boleh menjadi seorang penulis. Tetapi seorang yang kuat menulis mestilah seorang yang kaki membaca. Bila kita mempunyai sepuluh ringgit barulah kita boleh memberi lima atau sepuluh ringgit sebagai hadiah atau sedekah. Pembaca umpama penerima hadiah atau sedekah daripada kita.

Pastikan kemudahan menulis seperti telefon pintar atau kertas dan pena dapat dibawa bila keluar dari rumah. Sekeping gambar lebih bermakna daripada seribu perkataan.

Artikel Berkaitan:

Bakat

Penulis yang prolifik berfikir dan menjalani hidup lain daripada orang biasa. Ia adalah seperti seorang peniaga berjaya yang berfikir lain daripada orang awam atau seorang politikus yang berfikir secara lain daripada masyarakat yang bukan politikus. Begitu juga seorang pencipta yang mempunyai bakat yang tidak sama dengan orang lain. Demikianlah Tuhan mencipta kelainan bakat dalam kalangan manusia dan masyarakat.

Penulis mestilah berkarya dengan adab kemanusiaan yang asas. Ia sepatutnya menjadi ejen kerahmatan dan memperjuangkan kemakrufan dan memerangi kemungkaran. Ini yang saya pelajari daripada guru-guru saya di luar dan dalam negara yang menulis dengan akhlak mulia dan menyebarkan kebaikan dalam kalangan manusia. Keranggian bahasa yang dapat dikuasai mestilah digunakan untuk kebaikan.

Saya mengingatkan para penulis muda supaya jangan mudah menjadi soldadu upahan atau lasykar siber. Mereka berani di belakang skrin telefon pintar, menyembunyikan identiti dan menabur kebatilan.

A-B-C-D-E penulisan yang bagus boleh diringkaskan seperti berikut. “A” ialah aspirasi dan amanah ilmu yang diperjuangkan. “B” ialah benar dalam penulisan. “C” ialah cekap dalam melaksanakan tugas penulisan. “D” ialah disiplin diri dalam menghasilkan karya secara individu atau berkumpulan. “E” ialah etika yang sentiasa dijaga dalam hayat dan bidang penulisan.

Bila kita menulis dalam blog, Instagram atau Facebook, kita mempunyai sedikit atau ramai pengikut. Pastikan kita menghidangkan penulisan yang sebaiknya kepada teman atau pengikut kita. Janganlah kita menghina keintelektualan mereka dengan tulisan picisan dan berbaur fitnah. Bila kita melakukan kesilapan dalam penulisan, mohonlah maaf. Tiada siapa yang sempurna.

E-F-G-H-I sifat buruk yang mesti dicegah adalah seperti berikut. “E” ialah ego serta keegoan diri yang tidak perlu dalam penulisan. “F” ialah fasik dalam penulisan yang menjurus kepada kemungkaran. “G” ialah glamor yang ditagih untuk memuji diri. “H” ialah hamun dan caci maki yang sudah pasti betapa rendahnya akhlak penulis. “I” ialah ingkar yang wujud dalam diri penulis yang tiada pedoman keimanan dan peradaban.

Saya akhiri penulisan ini dengan memohon agar pembaca budiman menelaah makna ayat-ayat 24-26 surah ke-14 (Surah Ibrahim) dalam al-Qur’an tentang Kalimah Baik yang berlawanan dengan Kalimah Buruk. Ia masing-masing adalah seperti pohon yang baik atau pohon yang buruk. Selamat menulis.