Industri kreatif beri pulangan lumayan kepada penulis

Hassan
Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran Anugerah Telenovela kali kesembilan pada Oktober depan membuktikan industri kreatif negara semakin berkembang dan memberi pendapatan lumayan kepada penulis serta penerbit bagi memperkenalkan karya mereka.

Presiden Yayasan Pembangunan Buku Negara, Dr Hassan Hamzah berkata, anugerah itu bukan sahaja mengiktiraf hasil kreatif pengkarya seni, tetapi juga membantu industri buku negara berkembang maju.

Beliau yang juga penganjur anugerah tersebut berkata, matlamat dan objektif itu adalah seiring dengan falsafah Anugerah Buku Negara (ABN) bagi mengiktiraf warga kerja industri perbukuan di Malaysia.

“Industri kreatif telah mengangkat penulis dan penerbit untuk mendapatkan pulangan yang menguntungkan seperti karya Ombak Rindu tulisan Fauziah Ashaari yang diulang cetak selepas diadaptasi menjadi filem.

Hassan bersama murid Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 2 Kluang, Johor Darul Takzim di Kompleks Kumpulan Karangkraf Shah Alam.
Hassan bersama murid Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 2 Kluang, Johor Darul Takzim di Kompleks Kumpulan Karangkraf Shah Alam.

“Penganjuran ini juga menggalakkan lebih ramai masyarakat mengarang novel dan menjadikan ia satu peluang pekerjaan yang menjana pendapatan,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah beliau, antara anugerah yang dipertandingkan adalah Novel Popular, Telenovela Popular, Pelakon Lelaki Popular, Pelakon Wanita Popular dan Novelis Terbaik

Jelasnya, terdapat 46 buah novel yang diadaptasi telah melahirkan ramai penulis muda berpotensi memacu karya sastera negara ke peringkat dunia bagi meningkatkan sumbangan industri kreatif sebanyak 20 peratus yang dianggarkan berjumlah RM31 bilion menjelang 2025.

“Selain membantu pengkarya, anugerah ini turut mengiktiraf warga kerja produksi yang mampu mengadaptasi bahan bercetak kepada layar perak dan mendapat sambutan menggalakkan daripada khalayak.

“Sumber ekonomi dunia penulisan semakin berkembang dan memenuhi kehendak penonton yang ingin melihat isu semasa melalui penghasilan karya kreatif.

“Sejak anugerah ini diadakan, trend drama adaptasi telah berjaya melahirkan 300 orang penulis baharu selama tiga tahun ini,” katanya.