NGO desak gugurkan kerakyatan individu hina Jalur Gemilang

Amiruddin (tiga dari kiri) bersama ahli PBBSI menunjukkan salinan kenyataan media pada sidang akhbar yang diadakan di pejabat PBBSI di sini hari ini.
Amiruddin (tiga dari kiri) bersama ahli PBBSI menunjukkan salinan kenyataan media pada sidang akhbar yang diadakan di pejabat PBBSI di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Persatuan Budak Bas Stand Ipoh (PBBSI) menggesa supaya tindakan tegas dengan menggugurkan kerakyatan dikenakan ke atas individu yang bersikap biadab menghina bendera kebangsaan.

Presidennya, Amiruddin Mohd Daud berkata, sama ada menterbalikkan bendera mahupun menukar 14 bucu bintang kepada lima bucu bendera kebangsaan, tindakan itu jelas menunjukkan kebiadaban dan betapa tidak sensitif segelintir rakyat Malaysia terhadap terhadap negaranya.

Beliau berkata, disebabkan itu, tindakan tegas dan hukuman berat perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi memberi pengajaran kepada individu yang tidak sensitif dan mereka yang cuba menggugat kedaulatan negara.

"Mutakhir ini, banyak sangat usaha-usaha untuk menyemai komunisme di negara Malaysia. Kita dikejutkan dengan isu bendera Malaysia yang dipasang terbalik dan yang terkini, bintang 14 bucu pada bendera kebangsaan ditukar pula kepada bintang lima bucu yang merupakan simbol komunis. Malah bendera negeri Perak juga diterbalikkan.

"Yang jelas perkara ini sama ada disengajakan atau tidak, seolah-olah mereka dengan bangga dan angkuh menunjukkan sikap biadab serta tiada semangat patriotisme kepada negara," katanya kepada pemberita di Pejabat PBBSI di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu Jalur Gemilang dengan bintang lima bucu ketika perasmian Piala Lum Mun Chak yang dianjurkan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA).

Pada sidang media itu, seramai 40 ahli PBBSI hadir membantah tindakan biadab mengubah Jalur Gemilang tersebut.

Semalam, MABA memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia dengan lima bucu bintang ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 semalam.

Artikel Berkaitan:

Bendera Malaysia dengan lima bucu bintang itu dipaparkan menerusi klip video bersama logo Westport ketika nyanyian lagu Negaraku.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/59119/BERITA/Nasional/Bendera-Malaysia-bintang-lima-MABA-mohon-maaf]

Sementara itu, mengenai tindakan membawa masuk abu mayat bekas pemimpin pengganas komunis, Chin Peng ke Perak, Amiruddin berkata, pihaknya berpandangan bahawa tindakan itu perlu dipandang serius oleh kerajaan bagaimana perkara itu boleh berlaku.

Jelasnya, sejarah telah membuktikan bahawa pengganas komunis ini telah membunuh lebih 1,400 anggota tentera, polis dan orang awam di Malaysia selepas negara mencapai kemerdekaan.

"Di mana letaknya maruah kita sebagai negara yang berdaulat untuk membenarkan pembunuh balik ke negara kita dan abunya ditebarkan di negeri ini.

"Saya mohon kepada Kementerian Dalam Negeri, polis dan pihak berkuasa terlibat untuk siasat bagaimana boleh dibawa abu mayat itu sebab abu itu dah diharamkan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Jadi siapa yang bawa perlu dikenakan tindakan," katanya.

Terdahulu, penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chai Kan Fook, 81, berkata, tindakan membawa pulang abu mayat mendiang Chin Peng dari Thailand ke Malaysia hanya untuk memenuhi permintaan terakhir bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu.

[Artikel berkaitan:https://www.sinarharian.com.my/article/59337/BERITA/Nasional/Bawa-balik-abu-penuhi-permintaan-terakhir-Chin-Peng]

Tindakan itu kemudiannya menerima kecaman daripada pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan itu dan mempersoalkan bagaimana abu tersebut boleh dibawa masuk.