Air Selangor siasat punca tiga paip pecah di KL

Insiden paip pecah di Jalan Dewan Bahasa berhadapan pintu masuk Dewan Bahasa dan Pustaka semalam.
Insiden paip pecah di Jalan Dewan Bahasa berhadapan pintu masuk Dewan Bahasa dan Pustaka semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) masih menjalankan siasatan punca insiden tiga paip pecah kurang 48 jam di Jalan Maharajalela, Jalan Pinang dan Jalan Dewan Bahasa pada semalam serta kelmarin.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Air Selangor, Abdul Halem Mat Som berkata, paip yang pecah di semua lokasi itu telah selesai dibaiki dan beberapa langkah sewajarnya diambil bagi mengelak insiden sama berulang.

Menurutnya, insiden paip pecah tersebut boleh disebabkan beberapa faktor antaranya pergerakan tanah yang disebabkan oleh gegaran atau hentakan kuat.

"Ini biasa terjadi apabila kedudukan paip berada tidak jauh dari kawasan pembinaan atau kedudukan paip berada di bawah permukaan jalan raya.

"Pergerakan bawah tanah juga boleh menyebabkan struktur tanah menjadi lopong punca paip patah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, paip pecah juga boleh berlaku disebabkan tekanan air yang tinggi hingga paip lama jenis asbestos cement (AC) tidak dapat menampung tekanan itu.

"Air Selangor akan membuat penyelarasan semula tekanan air di Jalan Maharajalela termasuk pemasangan 'endcap' dan pengalihan 'tapping' untuk 10 premis yang menerima bekalan air daripada paip tersebut.

"Sementara 'pressure logger’ untuk analisa profil tekanan bagi menstabilkan sistem bekalan air dipasang di Jalan Pinang dan Jalan Dewan Bahasa yang masih menggunakan paip AC," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, paip AC di Jalan Dewan Bahasa berusia lebih 30 tahun mudah patah disebabkan bebanan trafik yang tinggi di laluan berkenaan selain gegaran dan pergerakan tanah.

"Rancangan jangka panjang pihak Air Selangor dalam hal ini ialah untuk menggantikan paip tersebut.

Air Selangor telah mengenalpasti lebih kurang 438 kilometer (km) paip jenis ini yang perlu diganti dan sehingga kini 365.16km daripadanya telah diganti," katanya.

Pada Isnin, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita jatuh ke dalam lubang seluas tiga meter di Jalan Maharajalela diikuti insiden paip pecah di Jalan Pinang dan Maharajalela semalam.