Lelong baju vintage bantu Presiden Pas

Baju vintage ini dilelong pada harga RM600 bagi mengisi tabung tersebut. (Gambar kecil: Wan Shafiq Wan Wan Abdul Rahman)
Baju vintage ini dilelong pada harga RM600 bagi mengisi tabung tersebut. (Gambar kecil: Wan Shafiq Wan Wan Abdul Rahman)
A
A
A

MARANG - Seorang pemuda berjaya melelong sehelai baju koleksi vintagenya pada harga RM600 bagi mengisi Tabung Sumbangan Dana Guaman Saman Sarawak Report, malam tadi.

Wan Shafiq Wan Wan Abdul Rahman, 29, yang dikenali dengan nama Festiva Bundle Asia di Facebook membuka bidaan bermula RM15 di Facebook miliknya kira-kira 9.30 pagi dua hari lalu.

Wan Shafiq berkata, dia menamatkannya bidaan itu kira kira jam 10.30 malam apabila baju vintage era 80-an itu dibida pada harga tertinggi iaitu RM600 oleh seorang pemuda dari Sandakan, Sabah.

Menurutnya, dengan cara itu dia dapat menyumbang bagi mengisi Tabung Sumbangan Dana Guaman Saman Sarawak Report untuk membantu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Orang ada duit banyak, boleh sumbang duit. Orang ada lembu boleh jual lembu. Tapi saya cuma ada baju. Jadi baju ni saya cagar untuk bantu duit guaman Tok Guru Haji Hadi saman Sarawak Report.

"Segala hasil jualan untuk baju ni akan disumbangkan untuk tabung guaman ini. Untuk yang tak tahu, baju ini dipanggil 'rolling stones naga stadium', yang jarang didapati malah terhad," katanya, hari ini.

Wan Shafiq berkata, baju tersebut adalah antara item yang harus dimiliki oleh pengumpul baju baju vintage malah harga pasaran semasa bagi baju jenis itu adalah sekitar RM700 hingga RM1,000.

"Tapi saya nak buat bidaan. Dapat berapa pun tak kisah. Janji duit ni dapat isi tabung guaman itu. Ini sahaja saya boleh buat untuk bantu Tuan Guru" kata anak muda berasal dari Barat, Pengkalan Berangan itu.

Artikel Berkaitan: