X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia tak tolak kebarangkalian Daesh pindah operasi

Gambar hiasan
A
A

BANGKOK - Malaysia tidak menolak kebarangkalian Daesh memindahkan operasinya ke rantau Asia Tenggara berikutan kematian pemimpin Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi dalam satu serangan di Syria pada Oktober.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihak berkuasa Malaysia sentiasa berwaspada susulan kematian al-Baghdadi.

“Kami percaya kematian al-Baghdadi akan membuka satu lagi babak dalam operasi keganasan Daesh. Selepas kehilangan banyak daripada wilayahnya di Syria dan Iraq, Daesh kini mencari sebuah pangkalan baharu.

“Terdapat juga ancaman yang semakin memuncak daripada kepulangan pejuang pengganas asing, radikalisasi dalam talian dan serangan pengganas yang bergerak secara sendiri,” katanya pada Sesi Pleno Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN berkaitan Jenayah Rentas Negara (AMMTC ke-13) ke-13 dan mesyuarat berkaitan di Bangkok hari ini.

AMMTC ke-13 adalah platform untuk membincangkan perkara berkaitan jenayah rentas negara termasuk penyeludupan senjata api, keganasan, pengubahan wang haram, pelanunan laut, penyeludupan orang, pemerdagangan manusia, jenayah ekonomi antarabangsa, jenayah siber, pengedaran dadah dan penyeludupan hidupan liar serta kayu balak.

Pleno AMMTC memberi peluang kepada menteri terbabit untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik selain mengambil maklum cabaran yang dihadapi setiap negara dalam memerangi jenayah rentas negara.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Malaysia mengambil langkah untuk memanfaatkan sepenuhnya pangkalan data Interpol berkaitan ‘Dokumen Perjalanan yang Hilang dan Dicuri’ untuk membuat saringan ke atas pengembara bagi menahan penjenayah atau pengganas daripada memasuki negara ini.

Beliau berkata, Malaysia menerusi penubuhan ‘Counter Messaging Centre’ (CMC), memantau dan memintas radikalisasi dalam talian yang dijalankan dalam platform media sosial membuat banyak tangkapan dan mengetahui terlebih dahulu potensi serangan.

“Sejak enam tahun lepas, Polis Diraja Malaysia menumpaskan 25 percubaan oleh Daesh untuk melakukan serangan di Malaysia dan menahan 512 suspek yang terbabit dalam aktiviti berkaitan Daesh,” katanya.

Berkongsi usahanya untuk menghentikan pengubahan wang haram dan pembiayaan menentang keganasan, Muhyiddin berkata, Malaysia telah mengambil langkah perlu, termasuk pelancaran Rangkaian Risikan Kewangan Malaysia (myFINet), iaitu perkongsian awam-swasta antara Unit Perisikan Kewangan (FIU), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institusi Kewangan.

“Rangkaian ini akan membolehkan pendekatan diketuai risikan yang akan menambah baik penyerahan Laporan Transaksi yang Disyaki (STR) bagi siasatan dan pendakwaan yang perlu,” katanya.

Mengenai usaha memerangi penyeludupan dan pemerdagangan manusia, Muhyiddin menegaskan semula komitmen Malaysia untuk membawa pelaku ke muka pengadilan, berkaitan kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thai pada 2015.

Pembunuhan besar-besaran itu menjadi berita utama pada Mei 2015 apabila polis menemui 139 kubur dan 106 mayat dipercayai etnik Rohingya serta 29 kem tahanan pendatang asing di tengah hutan Bukit Genting Perah serta Bukit Wang Burma, beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia-Thai di Wang Kelian.

Muhyiddin turut menyuarakan kebimbangan berhubung krisis Rohingya, dengan berkata, keganasan di Negeri Rakhine mengakibatkan pelarian mencari perlindungan di negara berjiran.

“Kami menggesa supaya krisis di Negeri Rakhine diselesaikan. Berilah etnik Rohingya hak mereka, perbaiki keadaan bagi semua komuniti di Rakhine dan biarlah etnik Rohingya kembali ke kampung halaman mereka di Negeri Rakhine dengan aman,” katanya.

Muhyiddin berkata, Malaysia komited dalam menyokong sepenuhnya tindakan dan langkah untuk memerangi jenayah rentas negara di peringkat kebangsaan, serantau serta antarabangsa.

Beliau berkata, jenayah rentas negara adalah fenomena yang membawa implikasi serius terhadap kestabilan, keselamatan, kedaulatan dan ketenteraman awam di sesebuah negara.

“Malaysia percaya jenayah rentas negara adalah kebimbangan global yang serius yang berpotensi membahayakan kestabilan serta keselamatan negara, dan seterusnya mengancam keamanan serantau serta antarabangsa.

“Kita mesti mencari peluang untuk memperkukuhkan hubungan kerja supaya kita dapat mewujudkan saluran komunikasi yang lebih efisien.

“Kita juga mesti sama-sama berkongsi dan menyelaraskan usaha serta memperluaskan kerjasama antarabangsa sedia ada agar kita lebih teguh dalam respons kita terhadap isu jenayah rentas negara,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!