KPKM sedia 6 langkah pastikan durian Malaysia tak terjejas

Muka hadapan Sinar Harian pada 4 Mei.
Muka hadapan Sinar Harian pada 4 Mei.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyediakan enam langkah awal bagi memastikan pasaran durian Malaysia sentiasa berkualiti dan tidak terjejas susulan China telah melakukan penanaman sendiri yang mana keluaran pertamanya pada Jun depan.

KPKM dalam kenyataan berkata, antara perkara yang sedang dilaksanakan melalui Jabatan Pertanian (DOA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) adalah meningkatkan keperluan eksport raja buah itu ke negara pengimport sedia ada.

Selain itu, KPKM juga sedang meningkatkan akses pasaran durian Malaysia di luar negara dengan mempromosikannya di pasaran sedia ada secara aktif selain menerokai tempat baharu yang berprospek tinggi.

Kementerian tersebut turut memperkukuh dan mempelbagaikan lagi kaedah pemasaran bagi meningkatkan kadar permintaan masyarakat antarabangsa terhadap durian dari negara ini.

Tambah kenyataan itu, pengusaha durian tempatan juga dibantu supaya dapat memenuhi keperluan piawai antarabangsa dan protokol eksport dengan melaksanakan aktiviti pengembangan yang konsisten seperti Pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP), Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) dan program-program penerangan lain.

“Kelima, kami memastikan ladang durian mengamalkan amalan pertanian baik melalui pensijilan myGAP bagi memastikan hasil yang dikeluarkan adalah selamat daripada penggunaan racun dan baja kimia berlebihan di samping memastikan kualiti buah adalah tinggi.

“Terakhir adalah memastikan fasiliti pemprosesan durian mempunyai pensijilan pensijilan Amalan Perkilangan Baik (GMP) atau Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP),” kata kenyataan itu pada Sabtu.

KPKM mengambil berat berkenaan penanaman pokok durian yang dilakukan China di Pulau Hainan dengan keluasan lebih 2,000 hektar yang mampu menghasilkan antara 45,000 hingga 75,000 tan setahun.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, bagi menghasilkan durian bermutu dan berkualiti tinggi, iklim tropika dan struktur tanah seperti di Malaysia adalah lebih bersesuaian berbanding di China.

“Dalam perkara ini, durian Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar bagi tujuan eksport khususnya ke China, Taiwan, Korea, Singapura, Australia, Timur Tengah, Eropah serta Amerika Syarikat.

“Berdasarkan laporan akhbar tersebut, Wilayah Hainan di China boleh ditanam durian kerana beriklim subtropika dengan musim sejuk yang sederhana dan dilaporkan sebagai kawasan perladangan durian sejak empat tahun lalu,” kata kenyataan itu.

Tambah KPKM, usaha China itu tidak menjejaskan secara langsung ke atas kesan jual beli durian sedia ada termasuk pengeksportan ke luar negara kerana raja buah dari Malaysia itu mempunyai keistimewaan dari segi tekstur, rasa yang manis, beraroma dan berada di kelasnya tersendiri.

Jelas kenyataan itu, di China, durian Malaysia telah dipasarkan di pasaran premium berikutan kualiti dan cita rasanya yang tersendiri selain musang king dari negara ini merupakan simbol taraf hidup tinggi di kalangan pengguna di sana.

“Perkara ini memberikan Unique Selling Point (USP) bagi durian Malaysia berbanding durian dari Thailand, Vietnam, Filipina dan lain-lain negara pesaing. Bagaimanapun, durian keluaran Hainan belum dipasarkan, oleh itu kualiti buah dan daya saingnya belum dapat dibuat jangkaan dengan tepat,” tambah kenyataan itu.

Menurut KPKM, sambutan hebat terhadap durian Malaysia telah menyebabkan peningkatan nilai eksport dari 2017 sehingga 2021 telah berkembang sebanyak 72.5 peratus atau peningkatan RM51.2 juta.

“Pada tahun 2021, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatatkan nilai sebanyak RM121.9 juta,” kata kenyataan itu.