X

Kindly register in order to view this article
!

Cadangan wujud SKM tahfiz buka lebih banyak peluang

Fuziah (tiga,kiri) dan menyerahkan replika cek kepada Pemangku Dekan Fakulti Pengurusan Azlan Abu Bakar (kanan) pada pelancaran program Picomspreneur hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR -​ ​Cadangan mewujudkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahfiz dilihat membuka ruang yang lebih luas kepada pelajar aliran itu untuk mendapat peluang dalam sektor pekerjaan arus perdana.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh​ berkata, ia juga dapat memastikan pelajar tahfiz mendapat lebih banyak kemahiran dan tidak hanya menghafal al-Quran.

​"Banyak modul tahfiz di​ Malaysia yang​ sedang dan sudah dibangunkan​ seperti ​tahfiz berkemahiran melalui Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)​.

"Jadi, akreditasi dan SKM Tahfiz yang diperoleh melalui penubuhan Majlis Tahfiz Negara pada Mac 2020 nanti akan memastikan semua aspek termasuk kurikulum dan latihan guru yang ditawarkan di pusat tahfiz adalah kompeten," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan program PICOMSpreneur sempena majlis Liqa' Jamaie Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS) di sini hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar sebelum ini berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) bercadang mewujudkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi meningkatkan ilmu kemahiran pelajar institusi berkenaan pada masa hadapan.

Sementara itu, Fuziah berharap Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi pelaksanaan pelan tindakan Sosioekonomi Rahmah pada tahun hadapan dapat mewujudkan satu skim dana mikrokredit supaya tidak hanya bergantung kepada pembayar cukai sebaliknya daripada zakat infak dan sedekah.

“Kita sedang kaji untuk membentuk satu ‘house of mal’, bukan sahaja Baitulmal, tetapi yang menggabungkan dana daripada bukan pembayar cukai termasuk zakat, infak, sedekah dan sebagainya.

“Ini penting kerana kita kini hanya berpandukan kepada dana zakat dan secara jelas, ia tidak cukup untuk membantu usahawanan asnaf,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fuziah turut menegur orang ramai khususnya ibu bapa yang memberikan respon negatif mengenai penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang akan diwajibkan tahun hadapan.

“Ramai ibu bapa marah apabila kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan (CRS). Mereka kata mahal dan sebagainya tetapi ini adalah dasar maqasid syariah pengurusan Islam kerana jaga nyawa juga maqasid syariah,” katanya. -Bernama