Padah tidak jaga kebersihan premis makanan

Dr Izamin (tengah) ketika membuat pemeriksaan di salah sebuah premis makanan.
Dr Izamin (tengah) ketika membuat pemeriksaan di salah sebuah premis makanan.
A
A
A

KOTA BHARU - Empat kedai makan di sekitar Kota Bharu diarahkan ditutup semalam kerana didapati tidak menjaga kebersihan.

Pegawai Kesihatan Daerah Kota Bharu, Dr Izamin Idris berkata, sebanyak 45 premis makanan diperiksa dalam Operasi Premis Bersih Siri 22/2019 selama enam jam bermula jam 9 pagi itu.

Menurutnya, sebanyak 64 notis kompaun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) kepada pemilik premis dan pengendali makanan di atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah pemakaian pengendali makanan tidak lengkap, memakai aksesori tangan dan gagal mengekalkan kebersihan premis.

"Kita turut mengesan pemilik yang membenarkan pekerja yang tiada suntikan anti tifoid serta latihan pengendali makanan mengendalikan makanan di kedai mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Izamin menampal notis penutupan premis di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dikeluarkan kepada premis makanan yang gagal mencapai tahap kebersihan ditetapkan.
Dr Izamin menampal notis penutupan premis di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dikeluarkan kepada premis makanan yang gagal mencapai tahap kebersihan ditetapkan.

Menurutnya, kesemua mereka menerima notis mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pemilik premis yang gagal mematuhi perintah penutupan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Beliau berkata, JKNK akan memastikan tahap kebersihan premis makanan di daerah ini sentiasa memuaskan selaras dengan Kempen Kelantan Gerbang Makanan Sihat 2020 (Lazat, Selamat dan Berkat).

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mengunjungi premis makanan juga dinasihatkan supaya memilih lokasi jualan makanan yang bersih," katanya.

Operasi yang diketuai Dr Izamin berkenaan melibatkan seramai 55 kakitangan JKNK dan 10 pegawai serta penguatkuasa dari Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam.