LTTE: Isu jaminan ADUN Gadek diketahui Jumaat ini

Peguam Ram Karpal Singh (kanan) bersama bekas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan (kiri) dan isteri kepada ADUN Gadek ketika hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.- Foto Bernama
Peguam Ram Karpal Singh (kanan) bersama bekas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan (kiri) dan isteri kepada ADUN Gadek ketika hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Jumaat ini untuk memutuskan sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE dibenarkan diikat jamin atau sebaliknya.

Saminathan, 34, yang menghadapi pertuduhan menyokong dan memiliki item berkaitan kumpulan itu ditahan reman di Penjara Sungai Buloh mengikut SOSMA.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini mendengar hujahan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Saminathan dan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dalam prosiding kes berkenaan yang bermula pada jam 4.30 petang dan berakhir jam 8 malam.

Terdahulu, Ramkarpal berhujah badan Kehakiman mempunyai kuasa untuk membenarkan atau menolak permohonan ikat jamin dan badan eksekutif tidak boleh campur tangan dalam hal berkenaan.

Peguam itu berkata, pihaknya menerima bahawa ia bukan sesuatu yang mudah untuk mahkamah membenarkan ikat jamin, tetapi untuk menafikan terus hak anak guamnya bagi mendapatkan ikat jamin adalah tidak wajar.

Isteri ADUN Gadek ketika hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Isteri ADUN Gadek ketika hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

Sementara itu Muhamad Iskandar pula berhujah SOSMA adalah sah dari segi perundangan dan Perlembagaan Persekutuan.

"Undang-undang di bawah SOSMA juga berbeza dan tidak boleh disamakan dengan undang-undang jenayah lain. Bayangkan, jika ikat jamin dibenarkan, dikhuatiri perlakuan keganasan akan berulang,” katanya yang turut memaklumkan pertimbangan jaminan bagi tahanan mengikut SOSMA hanya boleh diberikan kepada kanak-kanak, wanita dan orang sakit.

Artikel Berkaitan:

Pada 1 November lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob telah memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah itu telah membenarkan permohonan Saminathan dan 11 lelaki untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke MahkamahTinggi.

Selain Saminathan, mereka yang lain ialah ADUN Seremban Jaya P Gunasekaran, 60; pemandu teksi V Balamurugan, 37; penghantar surat S Teeran, 38; peniaga besi buruk A Kalaimughilan, 28; ketua pegawai perbadanan S Chandru, 38; juruteknik S Arivainthan, 27; penjaga stor S Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan M Pumugan, 29; seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52; ahli DAP V Suresh Kumar, 43; dan peniaga B Subramaniam, 57.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini dan di beberapa negeri pada 29 dan 31 Okt lepas atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE. - Bernama