Tak puas hati punya pasal

Laporan Sinar Harian berhubung Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru yang disimbah cat merah hari ini.
Laporan Sinar Harian berhubung Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru yang disimbah cat merah hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kejadian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru disimbah cat merah dipercayai berlaku akibat rasa tidak puas hati terhadap wakil rakyat Parlimen berkenaan selain permasalahan dalam politik.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian disedari seorang wanita berusia 49 tahun yang juga pegawai khas kepada Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir kira-kira jam 7.20 pagi sewaktu beliau mahu membuka pusat khidmat berkenaan.

“Dia kemudiannya ternampak seekor ayam berbulu hitam yang telah dipotong lehernya diletakkan di hadapan pintu pejabat. Pada kaki ayam itu terdapat juga nota.

“Terdapat juga kesan simbahan cat berwarna merah pada pintu, gril dan dinding bahagian hadapan pintu masuk pejabat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di kawasan pejabat berkenaan kemudiannya mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk atau lain-lain kerosakan.

“Kita masih melakukan siasatan berhubung perkara ini. Buat masa ini polis mendapati tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup di sekitar tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pusat khidmat MP Johor Bahru dibaling cat merah, bangkai ayam

Artikel Berkaitan:

Tak gentar diugut bunuh: Akmal Nasrullah