X

Kindly register in order to view this article
!

Skop penganjuran majlis di Johor dikecilkan: Menteri Besar

Dr Sahruddin ketika Sidang DUN Johor ke-14 hari ini.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor melalui Perbendaharaan Negeri Johor menetapkan langkah perbelanjaan berhemat dalam menganjurkan acara majlis, keraian, mesyuarat, persidangan seminar dan bengkel.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, setiap penganjuran hendaklah dikecilkan skopnya atau yang benar-benar perlu sahaja dan diadakan di jabatan atau premis milik kerajaan.

"Bagi gimik pelancaran, ia perlu dibuat secara ringkas dan disediakan secara dalaman tanpa perlu melantik pengurus acara.

"Pemberian cenderamata tidak dibenarkan, tetapi sekiranya perlu hendaklah dihadkan kepada buku, kraf tangan tempatan, produk makanan tempatan atau produk agensi sendiri.

"Bagi pemberian pakaian percuma kepada peserta, pengunjung bagi setiap acara, majlis, keraian rasmi tidak dibenarkan dan hiasan tempat serta pentas adalah ringkas," katanya pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan Johor 2020) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Sahruddin (PH-Bukit Kepong) menjawab soalan Mohd Izhar Ahmad (PH-Larkin) yang bertanya selama tempoh pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkenaan perbelanjaan tetap negeri jika dibandingkan dengan kos pemerintahan kerajaan sebelum ini.

Dr Sahruddin berkata, kerajaan Johor sentiasa mengutamakan kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan sebagai prinsip tadbir urus utama untuk memastikan amalan baik dalam pengurusan perbelanjaan awam semasa.

Katanya, perbelanjaan kewangan berakhir 31 Disember 2018 ialah RM1,537.77 juta berbanding dengan hasil RM1,543.03 juta menjadikan lebihan tahun 2018 berjumlah RM2.15 juta.

"Perbelanjaan mengurus negeri di bawah kerajaan PH berakhir 31 Disember 2018 adalah sebanyak RM 1,537.77 juta berbanding kerajaan sebelum ini bagi perbelanjaan mengurus pada 2017 adalah berjumlah RM1,551.61 juta. Oleh itu terdapat penjimatan perbelanjaan keseluruhan iaitu sebanyak RM13.84 juta.

"Seterusnya bagi perbelanjaan pembangunan pula pada 2017 adalah RM710.51 juta dan pada 2018 sebanyak RM 614.87 juta. Oleh itu terdapat penjimatan perbelanjaan pembangunan iaitu sebanyak RM95.64 juta berbanding tahun 2017," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!