Notis penamatan bantuan JKM penerima akan diberi kepada ADUN

Nicole Tan Lee Koon
Nicole Tan Lee Koon
A
A
A

SEREMBAN - Mulai tahun hadapan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diarah mengemukakan notis penamatan bantuan bulanan JKM penerima kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan pihak DUN membuat siasatan sebelum memberi maklum balas kepada pihak JKM bagi tindakan lanjut dalam tempoh 21 hari.

“Saya akan arahkan pihak JKM mulai tahun 2020 agar berikan notis kepada ADUN kawasan dan penyelaras DUN tentang penamatan bantuan dan sekiranya ia tiada maklum balas selepas 21 hari maka bantuan bulanan JKM terhadap penerima itu akan ditamatkan.

“Ini adalah pendekatan kerajaan negeri supaya kita dapat betulkan yang biasa dan biasakan yang betul,” katanya pada Sidang DUN Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap cadangan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) yang meminta agar kerajaan negeri memberi makluman kepada pihak DUN sekiranya mahu menamatkan bantuan bulanan JKM penerima.

Mengulas lanjut, Nicole berkata, pada 2018 seramai 4,200 penerima telah diberhentikan bantuan bulanan JKM mereka dan pada tahun ini seramai 3,936 penerima terlibat.

“Antara faktor penamatan bantuan adalah apabila penerima meninggal dunia, melebihi paras garis kemiskinan, berpindah ke negeri lain dan tidak memaklumkan kepada JKM Negeri Sembilan dan anak penerima didapati ada yang boleh membantu menyara keluarga,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan yang menerapkan visi amanah, bersih, muafakat dan sejahtera, keprihatinan yang diberikan bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi bahkan kehidupan setiap lapisan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan melalui JKM akan terus menyantuni dan menawarkan perkhidmatan dari semasa ke semasa.