Dipecat serta-merta: Zakaria tunggu surat rasmi PKR

Laporan Sinar Harian sebelum ini berkaitan pemecatan Zakaria dan seorang lagi ahli PKR.
Laporan Sinar Harian sebelum ini berkaitan pemecatan Zakaria dan seorang lagi ahli PKR.
A
A
A

KUANTAN - Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang juga Ketua Cabang PKR Bera, Zakaria Abdul Hamid yang dipecat daripada parti itu kelmarin masih menunggu surat rasmi berhubung status pemecatannya.

Ia berikutan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam yang mengakui terdapat kekhilafan terhadap cadangan tindakan tatatertib ke atas beliau dan seorang lagi ahli PKR selepas dikaitkan dengan kes salah laku rasuah ketika pemilihan parti tahun lepas.

Atas dakwaan itu, Zakaria dan ahli PKR, Ismail Dulhadi dipecat serta-merta melalui keputusan yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti, Datuk Ahmad Kassim.

"Saya masih menunggu surat rasmi berhubung perkara itu sebelum membuat sebarang kenyataan," katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Rasuah: Dua ahli PKR Pahang dipecat serta-merta

[VIDEO] Pemecatan Zakaria tidak jejas gerak kerja PKR: Fuziah

Zakaria difahamkan masih berada di luar negara.

Dalam kenyataan awal berhubung pemecatannya itu sebelum ini, Zakaria mengakui terkejut dengan keputusan tersebut yang hanya diketahui melalui media.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang pertuduhan disiplin oleh mana-mana pihak dan tindakan tersebut diambil tanpa melalui proses membela diri seperti prosedur biasa yang dilakukan oleh badan politik yang berkanun.

Sebelum ini salah laku kedua-dua ahli PKR itu diperakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui surat yang diterima parti pada 23 Oktober lalu.

Semalam SPRM melalui kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki mengakui terdapat kekhilafan pihaknya yang mencadangkan tindakan tatatertib ke atas dua ahli PKR itu atas dakwaan melanggar kod etika parti berkenan sehingga kedua-duanya dipecat daripada parti itu serta-merta.

SPRM akui silap cadang tindakan tatatertib ahli PKR

Memetik laporan sebuah portal, Azam berkata, mengikut garis panduan tatatertib SPRM, laporan salah laku hanya boleh dihantar kepada agensi dan kementerian kerajaan Persekutuan atau negeri.

Ia tidak tertakluk kepada mana-mana parti politik dan bukan menjadi polisi kepada SPRM untuk membuat laporan sedemikian kepada mana-mana parti politik berhubung salah laku anggotanya.