'Saya tak akan tinggal dia'

Mohd Noor mengelap kepala isterinya, Rahimah yang terlantar di atas katil akibat serangan strok sejak lima tahun lalu.
Mohd Noor mengelap kepala isterinya, Rahimah yang terlantar di atas katil akibat serangan strok sejak lima tahun lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] "Walau apa pun keadaannya saya tidak akan tinggalkan dia, saya sayang dia," luah Mohd Noor Riffin, 67, yang setia menjaga dan menguruskan isterinya yang lumpuh akibat angin ahmar.

Demi kasih kepada isterinya itu, Mohd Noor dari Kampung Gertak Kechupu di sini sanggup berhenti kerja sebagai pembuat atap rumah supaya dapat menjaga suri hatinya, Rahimah Hamid, 68, yang terlantar sakit.

Dia berkata, walaupun keadaan kesihatannya juga tidak menentu namun dia tetap kuat menjaga isteri dan juga anak keduanya, Mahasan, 34, yang mengalami sakit mental.

"Macam mana keadaannya sekalipun saya tidak akan tinggalkan dia, dia isteri saya, saya sayang.

"Bukan hidup sehari dua, sudah berpuluh tahun hidup bersama," katanya ketika ditemui ketika menerima kunjungan Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) di rumahnya di sini semalam.

Mohd Noor berkata, isterinya menghidap kencing manis dan terkena serangan strok menyebabkan wanita itu lumpuh sejak lima tahun lalu.

"Rahimah memerlukan bantuan saya untuk menjalani rutin seharian seperti mandi, menukar lampin, makan dan minum kerana dia sudah tidak dapat menguruskan diri sendiri.

“Pagi anak-anak akan bantu memandikan dia kerana saya sudah tidak larat untuk mengangkatnya ke bilik air. Selepas itu saya pula perlu pakaikan baju dan memberinya makan dan minum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Keluarga ini menerima kunjungan KKCK yang menyampaikan sumbangan beras oleh Tiong Lam (dua dari kanan) kepada Mohd Noor.
Keluarga ini menerima kunjungan KKCK yang menyampaikan sumbangan beras oleh Tiong Lam (dua dari kanan) kepada Mohd Noor.

Menurutnya, dia dulu memperoleh pendapatan RM1,000 sehingga RM1,500 sebulan sebagai pembuat atap, namun kini tiada berpendapatan dan hanya bergantung harap ihsan anak-anak.

“Kami memperoleh bantuan daripada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) sebanyak RM400 sebulan dan ada anak-anak yang sudah bekerja menghulurkan bantuan kepada kami.

“Selainnya ramai yang turut membantu seperti jiran-jiran, malah MAIK juga memberikan bantuan katil untuk keselesaan kepada isteri yang lumpuh,” katanya.

Mohd Noor berkata, dia reda dengan nasibnya dan tetap tabah mengharungi ujian tuhan walaupun dalam keadaan serba kekurangan dan tidak akan meninggalkan isteri yang tercinta itu.

“Semasa dia sihat dahulu, dia sudah banyak berkorban untuk saya, melahirkan anak-anak kami, membesarkan mereka dan sekarang giliran saya pula untuk menjaga dia.

“Pada masa sama saya juga perlu menjaga Mahasan yang menghidap penyakit jiwa selepas tamat tingkatan lima 17 tahun lalu, mujur dia tidak agresif dan kadang-kala dia juga membantu memandikan ibunya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KKCK, Pui Tiong Lam berkata, pihaknya prihatin terhadap nasib dihadapi keluarga Mohd Noor dan akan menampung keperluan makanan seperti beras secara bulanan kepada keluarga berkenaan.

“Keluarga ini layak untuk dibantu dan kami di KKCK akan memberi bantuan makanan secara bulanan kepada mereka dan diharapkan dapat meringankan beban Mohd Noor sekeluarga,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Mohd Noor Riffin Bank Rakyat 22-012-184264-2.