Pesara rugi RM180,000 diperdaya Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pesara kerajaan berusia 49 tahun di sini kerugian RM180,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam pada 13 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang memperkenalkan diri daripada Telekom Malaysia, Kuala Lumpur memaklumkan dia mempunyai bil tunggakan.

Menurutnya, panggilan itu seterusnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas mangsa menafikan mempunyai bil tunggakan sebagaimana didakwa.

"Mangsa bercakap dengan seorang pegawai polis yang memaklumkan dia turut terlibat dalam kes penggubahan wang haram.

"Mangsa telah diarahkan memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun yang telah diberikan untuk tujuan bayaran wang jaminan dan siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa telah membuat 29 kali transaksi yang berjumlah RM180,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek dalam masa dua hari selepas menerima panggilan daripada sindiket penipuan itu.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Rozi berkata, seorang lagi mangsa berusia 62 tahun turut mengalami nasib sama apabila ditipu RM9,000 selepas menerima panggilan palsu daripada lelaki menyamar sebagai anggota polis.

Katanya, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan:

"Polis telah menerima sebanyak 65 laporan kes tipu panggilan atau Macau Scam sejak Januari hingga Oktober 2019 yang menyumbang kerugian sebanyak RM1.67 juta di daerah Kota Setar.

"PDRM telah menangkap dan berjaya menuduh keldai-keldai akaun yang bersubahat atau membantu sindiket penipuan dalam kes Macau Scam dengan memberikan kad bank beserta butiran akaun kepada pihak ketiga,"k atanya.