X

Kindly register in order to view this article
!

NUTP mahu Dr Maszlee kekal sebagai Menteri Pendidikan

Dr Maszlee Malik - Foto BERNAMA
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Dr Maszlee Malik kekal sebagai Menteri Pendidikan sekiranya berlaku rombakan Kabinet.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huan Hock berkata, Maszlee memainkan peranan penting dan besar di Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan tugas reformasi yang dipikul olehnya.

"Tanggungjawab beliau amat berat kerana terlibat dengan pelbagai permasalahan di 41 bahagian di KPM termasuk Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Pengurusan Sumber Manusia, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, Lembaga Peperiksaan serta pelbagai lagi termasuk menguruskan lima juta pelajar dan 500,000 kakitangan.

"Malah, permasalahan yang diutarakan melibatkan guru telah diambil tindakan segera oleh menteri tersebut termasuk rungutan beban guru yang kini sudah mula dikurangkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desa-desus rombakan Kabinet dalam masa terdekat walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan khabar angin tersebut.

Dalam pada itu, Harry berkata, NUTP juga menyelar tindakan undian dalam talian sebuah portal berita mengenai menteri yang patut digugurkan dalam rombakan Kabinet.

"NUTP berpandangan dapatan undian tersebut tidak menggambarkan keseluruhan sentimen rakyat terutama daripada guru dan warga pendidik.

"Keputusan undian tersebut mendapati masyarakat tidak memperoleh makluman sebenar mengenai usaha-usaha menteri berkenaan dalam menyelesaikan isu-isu guru," katanya.

Menurutnya, NUTP yang mewakili 230,000 ahli serta rakan kongsi penting KPM juga melihat banyak perubahan sedang berlaku di sekolah sekarang termasuk pemansuhan peperiksaan bagi murid tahap 1 yang melibatkan pelajar tahun satu, dua dan tiga.

Dr Maszlee, 45, ialah Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada Mei 2018 selepas Dr Mahathir membentuk kerajaan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!