Tiada perbincangan mengenai rombakan kabinet - Fadillah

Fadillah berbual bersama Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi, Republik Indonesia Airlangga Hartarto semasa Majlis Makan Malam bersama Kedutaan dan Sekretariat Majlis Negara-Negara Pengeluar Sawit (CPOPC) sempena misi Perdagangan ke Kesatuan Eropah (EU) di Brussels Belgium. - Foto Bernama

A
A
A

BRUSSELS - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, belum ada perbincangan mengenai rombakan kabinet.

"Saya belum mendengar mengenainya. Tiada perbincangan tentang perkara itu. Itu adalah prerogatif (hak mutlak) Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Saya orang bekerja. Saya menurut perintah,” kata Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, kepada Media Malaysia di sini pada Selasa.

Fadillah berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus mengenai kemungkinan akan berlaku rombakan kabinet

Beliau sebaliknya menegaskan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited dan fokus untuk memastikan kerajaan yang kukuh dan stabil.

"Kami dari GPS telah memberikan komitmen dan apa yang kami perlukan sekarang ialah kerajaan yang kuat dan stabil.

"Tanpa kestabilan, kita tidak boleh mengubah prestasi ekonomi, pelabur tidak akan datang kerana tiada dasar yang jelas, tiada kesinambungan dari segi kerajaan," katanya.

Hanya kestabilan politik dan tadbir urus yang baik akan menarik kedatangan pelabur, kata Fadillah yang merupakan Ketua Whip GPS di Parlimen.

"Ini perkara terpenting buat Sarawak dan ia merupakan komitmen kami dalam Kerajaan Perpaduan," katanya. - Bernama